Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 13, 2016

BEKAS PEGAWAI KERABAT DIRAJA SELANGOR DITAHAN SPRM


ditahan gari


Shah Alam - Seorang bekas pegawai khas kepada kerabat diraja Selangor bergelar Datuk Seri, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dengan sindiket penipuan maklumat pada sijil kematian.

Bekas pegawai berkenaan dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM125,000 daripada mangsa bagi tujuan mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suaminya.

Menurut sumber, mangsa telah membayar wang pendahuluan berjumlah RM90,000 agar proses pembetulan dipercepatkan. Jadi suspek mengambil kesempatan menjadi orang tengah dengan mengatakan wang itu akan diberikan kepada pegawai Jabatan Pendaftaran Putrajaya.

“Kita telah menahan Datuk Seri berkenaan dan seorang lagi rakan sindiketnya selepas terbongkarnya kegiatan ini.

“Lelaki berusia 46 tahun itu, ditahan di rumahnya di Seremban 2, kelmarin, selepas SPRM melakukan serbuan kira-kira jam 11 pagi,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam serbuan itu, SPRM menemui wang tunai berjumlah RM142,500, di mana RM37,500 disembunyikan dalam bilik air, RM100,000 lagi dijumpai dalam bonet sebuah kereta.

“RM5,000 lagi dijumpai dalam sebuah kereta yang lain dan kita juga menemui beberapa surat kuning yang digunakan Datuk Seri berkenaan sebagai sokongan kerabat diraja untuk memudahkan urusan dengan JPN.

“Kita turut menjumpai cop palsu milik kerabat diraja itu dan salah seorang pemimpin tinggi negara. Siasatan juga menemui 10 salinan surat JPN bagi pelbagai urusan yang dipercayai didalangi Datuk Seri tersebut.

“Penahanan Datuk Seri ini, dibuat selepas siasatan awal terhadap rakannya yang dipercayai orang tengah kepada kegiatan mereka,” katanya.

Sehari sebelum itu, rakannya yang berusia 59 tahun berkenaan, ditahan dan SPRM turut menemui wang tunai berjumlah RM30,000.

“Hasil soal siasat suspek pertama membawa kepada tangkapan kepada Datuk Seri itu,” katanya.

Lelaki berkenaan ditahan reman bermula kelmarin dan Datuk Seri bermula hari ini, selain masing-masing diperintahkan ditahan reman selama lima hari.

Dalam pada itu, dua pegawai JPN Putrajaya, salah seorang daripadanya adalah penolong pengarah telah diambil keterangan dan SPRM sedang mengesan lagi mereka yang terlibat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan enggan mengulas lanjut.


0 comments:

share2