Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 17, 2016

AIR PASANG BESAR: 20 RUMAH TERJEJAS BANJIR


Air pasang besar: 20 rumah terjejas banjir


Parit Buntar - Sejumlah 20 rumah penduduk Kampung Nelayan, Kuala Bagan Tiang di sini dilanda banjir kilat akibat fenomena air laut pasang besar pada awal pagi ini.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali berkata, kejadian banjir kilat dipercayai bermula jam 1.30 pagi apabila air laut pasang mula melintasi ban di pinggir kuala sebelum memasuki rumah penduduk sehingga jam 3.30 pagi.

Menurutnya, keseluruhan rumah terlibat dinaiki air bah setinggi 0.3 hingga 0.5 meter, bagaimanapun mula surut beberapa jam kemudian.

"Hasil tinjauan dibuat awal pagi ini, kita mengenal pasti keadaan ban rendah menyebabkan air pasang melintasinya dan mencetuskan banjir kilat selama lebih dua jam.

"Mujur keadaan cuaca agak elok dan angin tidak kuat menyebabkan situasi banjir kilat terkawal dan tiada sebarang keperluan pemindahan mangsa banjir di sini setakat ini,"katanya selepas mengadakan tinjauan rumah mangsa banjir kilat di Kampung Nelayan, Bagan Tiang di sini awal pagi ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno bahagian Parit Buntar, Abdullah Salleh, Penghulu Mukim Bagan Tiang, Shahrul Nizam Razali dan Penghulu Mukim Kuala Kurau, Abdullah Yusof.

Abu Bakar berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang, pihaknya memohon kerajaan negeri membaik pulih dan meninggikan setiap benteng dan ban terjejas di kampung itu dengan segera.

Menurutnya, kebanyakan struktur ban dan benteng pemecah ombak terdapat di kawasan Perairan Kuala Bagan Tiang didapati kurang kukuh dan terdedah ancaman kebocoran.

"Kita menjangkakan keadaan air laut pasang besar esok lebih kritikal dan meminta kesemua penduduk kampung lebih bersiap-sedia menghadapi kemungkinan dipindahkan sekiranya keadaan banjir serius.

"Pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian lalu, sebanyak enam sekolah dikenal pasti dijadikan pusat pemindahan sementara melibatkan Mukim Bagan Tiang dan Kuala Kurau.

"Kesemua agensi kerajaan terlibat kini bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sentiasa memantau keadaan kampung berisiko banjir,"katanya.

Abu Bakar turut menegaskan kawasan Kampung Nelayan, Kuala Kurau dan sekitarnya turut dikenal pasti belum terjejas akibat fenomena air pasang besar bermula jam 1 pagi tadi.

"Selain air pasang sedikit melimpahi jalan utama Pekan Kuala Kurau, tiada premis dikenal pasti dinaiki air,"katanya.


0 comments:

share2