Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 9, 2016

16 INDIVIDU DITAHAN SERTAI KUMPULAN MILITAN


Suspek telah ditahan di KLIA


Shah Alam – Seramai 16 orang individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan telah berjaya ditahan menerusi operasi oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah di antara 21 September hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, 15 orang suspek lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia manakala seorang lagi merupakan warga asing dan kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 38 tahun.

“14 suspek yang ditangkap di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah merupakan anggota kumpulan pengganas Daesh yang terdiri dari sel 'gagak hitam'.

“Mereka juga diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedy iaitu seorang warganegara Malaysia yang telah menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria dan merupakan perancang utama insiden pengeboman di Kelab Movida, Puchong pada 28 Jun lalu,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Khalid berkata kesemua suspek berkenaan disyaki telah berbai'ah secara atas talian dengan Muhammad Wandy malah turut menyalurkan dana kepadanya sebelum ini.

Selain itu, Khalid memaklumkan bahawa seorang lagi suspek berusia 20 tahun yang ditahan dalam operasi tersebut merupakan penuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Johor.

“Dia (suspek) telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 September lalu.

“Suspek sebelum itu telah berlepas ke Instanbul pada 7 September dan ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada keesokannya kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara tersebut.

“Tangkapan yang dibuat oleh pihak berkuasa Turki juga adalah hasil maklumat daripada Unit Cawangan Khas,”katanya.

Menyentuh mengenai suspek terakhir yang ditahan, Khalid menjelaskan bahawa tangkapan telah dibuat di sekitar negeri Selangor pada 25 September lalu.

Khalid berkata, suspek berusia 32 tahun yang merupakan rakyat sebuah negara di utara Afrika tersebut ditahan berikutan disyaki menganggotai kumpulan Jahbat Al Nusra di Syria.

“Suspek telah beberapa kali menyusup masuk ke negara ini sejak Mei 2016 malah ketika di Malaysia, dia disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan kumpulan Jahbat Al Nusra,”katanya.

Tambah Khalid, kesemua suspek berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan 9Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamantan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).


0 comments:

share2