Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 10, 2016

WORLD #QURANHOUR JADI TERAS KEPADA UMAT ISLAM


Datuk Hussamuddin Yaacub


Esok, World #QuranHour akan berlangsung serentak di seluruh dunia. Walaupun terdapat beberapa kritikan sebelum tanggal 9 Zulhijah, kempen ini terus mendapat sambutan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub tampil dengan ulasan sebelum pelancaran World #QuranHour.

Kempen World #QuranHour mendapat pelbagai reaksi, sama ada dari sudut positif mahupun negatif. Mengapa kempen ini dianjurkan?

World #QuranHour ini merupakan sebuah gerakan besar-besaran di peringkat antarabangsa untuk menarik minat orang Islam mendekati al-Quran. Ia juga adalah titik mulanya satu gerakan untuk mengajak orang Islam kembali mengenal apa itu Islam.

Kita terpanggil untuk menganjurkan kempen World #QuranHour ini kerana menyedari ramai dalam kalangan orang Islam kini majoritinya tidak boleh membaca dan jauh daripada al-Quran. Ada juga yang boleh membaca tetapi tidak faham dan ada yang faham tetapi tidak menghayati dan tidak mengamalkannya. Jadi, ini antara tujuan utama kita mengadakan kempen World #QuranHour.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa tujuan utama World #QuranHour dianjurkan?

Jika kita lihat sekarang, orang Islam atau negara Islam di serata dunia sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif di mata mereka yang bukan beragama Islam. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Ia kerana orang Islam sendiri tidak memahami Islam secara keseluruhannya kerana tidak membaca dan memahami al-Quran.

Al-Quran adalah seperti operating system ataupun manual yang harus dibaca oleh semua orang Islam. Sebelum ini, al-Quran dikeluarkan dalam bahasa Arab, jadi ada yang tidak faham apa isi kandungannya apatah lagi orang Melayu seperti kita. Tetapi sekarang, situasi itu telah berubah kerana terjemahan al-Quran kini diterbitkan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia dan disebabkan itu tidak ada lagi alasan untuk orang Islam tidak membaca al-Quran.

Persoalannya, kenapa tarikh 9 Zulhijah bersamaan 11 September dipilih dan hanya satu jam diketengahkan untuk melaksanakan World #QuranHour?

Tarikh 9 Zulhijah dipilih kerana ia bersempena dengan perjumpaan terbesar umat Islam di hari (wukuf di) Arafah dan kita mahu ambilnya sebagai simbolik sebagai bermulanya gerakan ini. World #QuranHour bukan hanya untuk tempoh satu jam setahun sekali, tetapi kita berharap dengan usaha berskala besar ini ia akan mampu menarik minat orang-orang Islam lebih mendekati al-Quran. Kita juga harapkan mereka yang menyertai dan menyokong kempen ini akan menyambung amalan itu setiap hari.

Tujuan kita adalah untuk mengajak orang Islam mendekati, membaca, faham, hayati dan mengamalkan segala panduan yang ada di dalam al-Quran. Kita hanya jadikan World #QuranHour ini sebagai simbolik.

Apakah Datuk merasakan World #QuranHour ini mampu memberi impak yang besar?

Bagi menggalakkan orang Islam membaca al-Quran, hasilnya tidak boleh dilihat dalam masa singkat. Sekurang-kurangnya ia akan memakan masa 10 tahun untuk melihat keberkesanan kempen ini. Kita berharap mereka yang terlibat tahun ini akan terus istiqamah dan pada masa yang sama setiap tahun lebih ramai akan membaca al-Quran.

Jika World #QuranHour tahun ini hanya melibatkan jumlah yang kecil, kita harapkan lebih ramai akan sertai untuk tahun seterusnya. Kita harap dalam masa 10 tahun kita dapat perolehi majoriti orang Islam baca al-Quran. Insya-ALLAH jika tahun hadapan kita lakukannya sekali lagi, ia adalah satu kejayaan apabila jumlah orang yang membaca al-Quran meningkat.

Ada pihak yang menganggap perlaksanaan kempen ini agenda dari barat. Boleh Datuk komen sedikit?

World #QuranHour ini adalah idea yang kita cetuskan sendiri tanpa mengikut agenda pihak luar. Sebenarnya ia bermula daripada saya sendiri yang sejak dua tahun ini baru pandai membaca al-Quran. Pada masa sama, saya sedar masih ramai orang Islam di luar sana yang tidak tahu membaca al-Quran. Atas rasa prihatin, saya mahu gunakan sisa-sisa hidup yang ada untuk membantu orang Islam lain mendekati al-Quran dan tidak mahu mereka senasib dengan saya. Niat saya untuk membantu dan pada masa sama baiki diri sendiri.

Melalui kempen ini sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk bantu orang Islam. Malah, saya menyeru kepada sesiapa sahaja untuk berhenti bertelagah kerana ia hanya akan mengelirukan umat Islam. Apa yang penting kita jangan halang orang nak buat pahala.

Adakah Datuk yakin dunia menyokong kempen ini?

Ada sebabnya kenapa kita pilih UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sebagai pusat untuk menjalankan World #QuranHour. Kerjasama ini dengan sendirinya akan sampai ke peringkat antarabangsa memandangkan pelajar mereka berasal dari 117 negara. Secara tidak langsung World #QuranHour akan tersebar ke seluruh 117 negara ini. Kita juga dapat kerjasama Maktab Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) yang turut menyumbang kepada perkara yang sama apabila ia memiliki 10,000 pusat tahfiz di 165 negara.

Apakah harapan terakhir Datuk sebelum berlangsungnya World #QuranHour?

Saya sangat berharap ramai orang Islam datang dan menyokong kempen ini. Mereka yang mahu menyertai kempen ini di UIAM diminta datang awal dan membawa naskhah al-Quran.

Kepada yang tidak berpeluang hadir, cuba dapatkan kumpulan masing-masing di kawasan berhampiran atau lakukannya bersama keluarga di rumah supaya dapat merasakan sendiri satu momentum baharu untuk mendekati al-Quran dan jadilah sebahagian daripada sejarah.


0 comments:

share2