Johor Bahru – Seorang wanita bingung dan berasa terpedaya apabila dibelenggu hutang RM17,740 sehingga disahkan muflis oleh mahkamah.
Episod duka ibu kepada dua cahaya mata yang dikenali sebagai Sarimah, 50, bermula apabila dia terpaksa menanggung hutang bagi pembelian sebuah kenderaan terpakai oleh bekas suaminya pada 2001.
“Saya langsung tidak mengetahui mengenai pembelian kenderaan ini apatah lagi untuk menandatangani sebarang dokumen pembelian kerana pada 2001 itu saya tidak bekerja.
“Saya berasa hairan mengapa saya terikat dengan pembiayaan kenderaan ini malah lebih pelik apabila pinjaman dibuat atas nama saya, sedangkan saya tidak pernah memohon,” katanya.
Katanya, dia telah berkahwin selama 25 tahun dan berpisah sejak setahun lalu pernah merujuk status penyelesaian hutang dengan bank pada 2009.
“Ketika itu, bank setuju untuk mengurangkan bayaran bulanan RM200 sebulan sehingga selesai dan saya menandatangani dokumen persetujuan tersebut.
“Pada ketika itu suami berjanji akan melunaskan tunggakan hutang itu namun sehingga hari ini tidak pernah dikotakan, malah saya yang menanggung beban apabila wang simpanan ASB turut dibekukan apabila diisytiharkan muflis,” katanya.
Sarimah yang menderita sakit lutut kronik terpaksa berjimat dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan sejak April lalu.
Dia yang berasa amat tertipu dan buntu dengan masalah itu, berikhtiar mendapatkan khidmat Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan.
Ketuanya, Micheal Tay Chee Boon berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat dari Jabatan Insolvensi dan merujuk kepada bank bagi mendapatkan penyelesaian.
“Kes yang berlaku ke atas Sarimah ini kerap berlaku kepada wanita lain dan kita berjaya menyelesaikan tiga masalah serupa," katanya.
0 comments:
Post a Comment