Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 8, 2016

[TEMERLOH] WARGA EMAS NYARIS DITIPU


Warga emas nyaris ditipu


Seorang warga emas nyaris menjadi mangsa penipuan dua individu setelah diperdaya dengan sekeping cek RM200,000 yang kononnya hadiah kemenangan nombor ekor.

Dalam kejadian di Temerloh, Isnin lalu itu, suspek warga tempatan, 58, dan seorang lagi warga Indonesia, 49, ditahan di tempat letak kereta sebuah bank ketika menunggu mangsa membuat pengeluaran wang simpanannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang, Superintendan Azizan Md Isa berkata, pesara tukang kebun sekolah berusia 82 tahun itu terpedaya dengan tawaran warga asing terbabit yang kononnya mendakwa mengalami kesukaran untuk menebus cek berkenaan.

Menurutnya, dua suspek menemui mangsa yang kebetulan berada di hadapan sebuah salun di Jalan Tengku Abu Bakar dan menunjukkan sekeping resit nombor ekor yang kononnya diteka tepat bersama sekeping cek tidak bertarikh berjumlah RM200,000, kira-kira jam 11 pagi, 5 September lalu.

Katanya, mangsa terpedaya dengan pujuk rayu suspek untuk mengeluarkan wang RM30,000 dengan alasan cek itu hanya boleh ditunaikan warga tempatan dalam tempoh tiga hari.

"Dalam keadaan tergesa-gesa, warga emas terbabit setuju dan pulang ke Kampung Penak, Mentakab untuk ambil buku bank bagi mengeluarkan wang simpanannya.

"Bagaimanapun, tindakan ahli keluarga mangsa yang segera melaporkan kejadian itu kepada polis membawa kepada penangkapan dua suspek tersebut dalam tempoh 30 minit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, di sini, semalam.

Beliau berkata, modus operandi suspek menjadikan warga emas sebagai mangsa disebabkan golongan itu mudah terpedaya dan kurang penelitian terhadap tawaran diberikan.

"Dalam kes kali ini, mangsa tidak menyedari resit nombor ekor yang ditunjukkan bertarikh 6 September iaitu keputusan keesokan harinya, bukan pada 5 September.

"Polis turut merampas RM13,500 dan sebuah kereta Proton Persona yang disewa suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu dan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tipu nombor ekor di sekitar Alor Setar, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Gombak, Cheras dan Bentong.

"Dua suspek terbabit turut mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan menipu, pernah dipenjarakan sehingga 48 bulan sebelum dibebaskan sekitar 2014 dan 2015," katanya.

Dalam pada itu, Azizan berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 21 kes tipu nombor ekor dilaporkan di seluruh negeri ini dan meningkat hampir sekali ganda berbanding 11 kes sepanjang tempoh sama, tahun lalu.

“Jumlah kerugian sehingga 31 Ogos ini, dicatatkan mencecah RM494,465 berbanding hanya 222, 668 bagi sepanjang tahun lalu.

“Di Pahang, Temerloh antara daerah yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 11 kes dengan kerugian sebanyak RM338,300; diikuti Jerantut (9) dengan kerugian kira-kira RM127,350,” katanya.


0 comments:

share2