Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 15, 2016

SAMUN TEPI KUBUR


PDRM


Taiping - Seorang lelaki kehilangan sebuah motosikal jenis Kawasaki 1000 selepas disamun tiga lelaki dalam satu kejadian di kawasan tanah perkuburan Cina Markationg, Tupai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, mangsa yang berusia 31 tahun disamun ketika melepak berseorangan di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa didatangi tiga lelaki dengan mengacukan sepucuk senapang patah.

“Ketika mangsa sedang duduk di kawasan terbabit, dia secara tiba-tiba didatangi tiga individu dan diacukan dengan sepucuk senapang patah.

“Malah difahamkan suspek juga bertindak menyuluh muka mangsa menggunakan lampu suluh,” katanya kepada Sinar Harian.

Harrith Kam berkata, sejurus kemudian, suspek dipercayai terus bertindak merampas kunci motosikal yang berada di dalam poket seluar mangsa.

“Semua suspek kemudiannya melarikan motosikal mangsa berserta topi keledar.

“Mangsa juga dipercayai tidak mengenali dan tidak dapat mengecam wajah suspek,” katanya.

Menurutnya, difahamkan tidak ada saksi dalam kejadian terbabit kerana kawasan berkenaan gelap serta jarang dikunjungi orang ramai pada waktu malam.

“Sehingga kini motosikal mangsa masih belum dijumpai dan suspek juga tidak mencederakan mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit,” katanya.


0 comments:

share2