Mula mempelajari teknik menggunting rambut daripada bapanya sejak di usia remaja, seorang penduduk Kuala Rompin, Abdul Yahya Ismail, 37, nekad membuka kedai gunting rambut sendiri.
Sebagai seorang perantau yang berasal dari Felda Raja Elias, Jempol, Negeri Sembilan, dia tidak gentar menghadapi cabaran besar bersaing dengan tukang gunting lain yang ada di kawasan itu.
Tampil dengan konsep kedai gunting harga bajet, dia yakin perniagaannya itu mampu menarik lebih ramai pelanggan namun agak memakan masa kerana dia kini mula dikenali penduduk sekitar.
“Saya belajar teknik menggunting rambut ini dengan ayah sejak dari zaman remaja lagi, ketika itu rambut kawan-kawan yang selalu jadi bahan uji kaji untuk memastikan saya sudah menguasai teknik yang diajar.
“Selepas tamat pelajaran di peringkat sekolah menengah, saya buat macam-macam kerja termasuk bekerja sambilan di kedai gunting ayah di Bandar Seri Jempol, dari situ saya mula belajar untuk buka perniagaan ini,” katanya.
Selepas menempuhi pelbagai sejarah hidup yang akhirnya mendewasakannya, anak ketiga daripada enam beradik itu memilih untuk merantau ke Kuala Rompin kira-kira enam bulan lalu.
Berbekalkan teknik menggunting rambut warisan daripada bapanya itu, dia menyewa sebuah kedai berhampiran sebuah pasaraya.
Menurutnya, walaupun melihat Bandar Kuala Rompin mempunyai beberapa kedai gunting, tetapi dia melihat masih ada ruang baginya untuk mencuba nasib di samping ada rakan mengajak untuk tinggal bersama.
“Pelanggan kedai gunting tidak boleh diduga kerana ia bermusim dan waktunya, kebiasaan waktu pelanggan ramai pada musim nak buka sekolah serta sebelah petang hingga ke malam. Jadi pendapatan memang tak boleh dijangka.
“Pelanggan yang datang ke kedai saya setakat ini ada pelbagai ragam namun mereka selesa dengan harga bajet yang saya tawarkan iaitu RM5 bagi dewasa manakala RM3 bagi kanak-kanak,” katanya.
Mengakui perniagaannya masih belum mampu menjanjikan pulangan yang lumayan, untuk menampung perbelanjaan hidup dan sewa kedai, beliau turut bekerja mengambil upah memotong rumput.
“Selain itu, saya juga tawarkan perkhidmatan menggunting rambut ke rumah pelanggan.
“Saya utamakan pelanggan OKU atau warga emas yang tak mampu untuk ke kedai. Ini saja cara untuk saya dekati pelanggan sebagai strategi pemasaran,” katanya kepada Sinar Harian.
0 comments:
Post a Comment