Hospital Lipis bakal dinaik taraf dengan tambahan sebuah lagi bangunan baharu berhampiran bangunan bersejarah Pahang Club bagi menampung peningkatan bilangan pesakit.
Pengarahnya, Dr Sarifuddin Saad berkata, pihaknya kini sedang berusaha memohon pengambilan tanah bagi memastikan fasa ketiga projek naik taraf hospital itu dapat direalisasikan.
Menurutnya, bangunan baharu itu akan menempatkan unit hemodialisis, klinik pakar, pejabat rekod, pejabat pentadbiran dan parkir bertingkat.
“Usaha menaik taraf Hospital Lipis memasuki fasa tiga sebagai alternatif mengurangkan kesesakan kerana kita akan menyediakan dua tingkat parkir kenderaan yang mampu memuatkan 140 kenderaan pada satu-satu masa.
“Kita telah siap membuat permohonan pengambilan tanah dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan diharapkan fasa ketiga naik taraf hospital ini dapat direalisasikan beberapa tahun lagi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sarifuddin berkata, kerja menaik taraf fasa dua hospital berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap sekitar April tahun hadapan.
Menurutnya, pembinaan blok baharu setinggi lima tingkat itu melibatkan kos RM57 juta dan dimulakan sejak 2014.
“Blok baharu ini bakal menempatkan dua wad perubatan, unit kecemasan dan trauma, unit sajian dan diabetik, unit pensterilan serta parkir bertingkat
“Pembinaan blok baharu itu bersebelahan bangunan hospital fasa pertama dengan tapak sedia ada dilaksanakan berikutan pihak hospital sekarang ini tidak berupaya menampung jumlah pesakit yang ramai,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menaik taraf Hospital Lipis dengan membina hospital baharu bernilai RM97 juta bagi fasa pertama yang menyediakan kemudahan perubatan canggih dan memberi keselesaan kepada penduduk di daerah ini.
Bangunan setinggi enam tingkat itu menempatkan 128 katil selain mempunyai klinik doktor pakar, kemudahan pembedahan kritikal, wad bersalin, balai pelawat, unit diabetik, unit sajian makanan, unit kecemasan trauma dan parkir bertingkat.
0 comments:
Post a Comment