Kemaman - Seorang suri rumah pengsan dan tidak sedarkan diri hampir sejam selepas menatap jenazah suaminya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 177.2 Jalan Jerangau-Jabor di Jabor kira-kira jam 5.30 pagi semalam.
Nor Azizan Othman, 50, pengsan sejurus melihat jenazah Zamari Hamzah, 51, di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman, kira-kira jam 9 pagi semalam.
Bapa empat anak itu parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian apabila motosikal ditunggang merempuh kerbau sebelum diseret lori sejauh kira-kira 30 meter.
Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori di Pejabat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) Bandar Cheneh Baharu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kawasan Perumahan Jabor Perasing untuk ke tempat kerja di Bandar Cheneh Baharu.
Selepas sedar dari pengsan, Nor Azizan tidak henti menangis sehingga jenazah suaminya dibawa keluar dari pekarangan hospital kira-kira jam 12.15 tengah hari untuk disemadikan di Jabor.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, bedah siasat ke atas mangsa siap dijalankan pada jam 9.30 pagi.
Katanya, punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Kemalangan dipercayai berlaku setelah mangsa gagal mengelak dari melanggar kerbau sebelum jatuh atas jalan lalu dirempuh dan diseret lori yang datang dari arah sama.
“Keadaan di lokasi kejadian gelap menyebabkan mangsa tidak menyedari kehadiran haiwan tersebut di atas jalan, manakala pemandu lori terbabit yang berusia 26 tahun tidak sempat mengelak mangsa yang terjatuh," katanya.
Katanya, pemandu lori itu tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman beberapa jam sejurus kemalangan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments:
Post a Comment