Batu Pahat - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Batu Pahat diminta untuk bersiap sedia ekoran paras air laut di daerah ini telah meningkat secara luar biasa sejak kebelakangan ini.
Pengarah APM Johor, Mat Zin Bujang berkata, situasi berkenaan telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk, selain mereka berharap air pasang dan banjir kilat tidak berlaku di kawasan kediaman mereka.
Menurutnya, fenomena berkenaan yang mula melepasi tebing serta tembok pemecah ombak itu dikesan berlaku di sekitar Pantai Punggor.
Katanya, sebelum ini air pasang yang berlaku hanyalah berada di paras kawasan tembok terbabit sahaja.
“Semenjak kebelakangan ini, fenomena air pasang besar menyebabkan air laut mula melimpah melepasi tebing serta tembok pemecah ombak di pantai berkenaan.
“Ada sesetengah penduduk di kawasan rendah di Rengit menghubungi APM selepas bimbang dengan fenomena air pasang besar yang mengakibatkan air laut mula melimpah masuk sejak minggu lalu.
“Pemantauan berterusan juga sedang dilakukan di sekitar kawasan pantai di Batu Pahat serta Pontian berikutan fenomena air pasang besar yang semakin membimbangkan semenjak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Justeru itu, Mat Zin berkata, penduduk di kawasan rendah, termasuklah di sekitar kawasan Kampung Pantai Baru, Rengit, dekat sini, supaya berjaga-jaga sekiranya paras air laut meningkat melebihi paras biasa.
“Begitu juga dengan penduduk di Kampung Perepat Laut, juga di Rengit yang sering mengalami masalah yang sama dan ia berlaku berulang pada setiap tahun, namun pada tahun ini paras air laut semakin tinggi,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Perepat Laut yang kediamannya terletak berhampiran Pantai Punggor, Ismail Salleh, 50, berkata, penduduk di pesisiran pantai di situ bimbang selepas melihat air laut mula melimpah masuk melepasi benteng pemecah ombak sejak kelmarin.
“Ombak laut kali ini luar biasa tingginya sehingga mencecah tiga meter dan menyebabkan air laut mula melimpah masuk ke darat.
“Situasi ini telah menyebabkan air bertakung dan menjadi banjir kilat dan keadaannya lebih membimbangkan berbanding selalu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment