Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 30, 2016

MH17: PERLU GUNA SALURAN MAJLIS KESELAMATAN PBB


MH17


Shah Alam – Malaysia perlu menggunakan saluran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengambil tindakan ke atas pihak bertanggungjawab nahas melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, 17 Julai 2014.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PBB merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan kes itu.

“Kalau menurut laporan siasatan, agak sukar sebenarnya untuk ambil tindakan ke atas pihak bertanggungjawab tanpa melalui jalan tribunal.

“Satu tribunal perlu dibentuk melalui Majlis Keselamatan PBB. Majlis Keselamatan PBB perlu mengeluarkan satu resolusi untuk mengadakan tribunal itu untuk adili pihak yang bertanggungjawab menembak MH17,” katanya kepada Sinar Online.

Kumpulan Penyiasat Bersama yang diketuai oleh Belanda mendedahkan Laporan Siasatan MH17, pesawat malang itu ditembak oleh peluru BUK9838-Series yang dibawa dari Rusia.

Sebelum ini pada Julai tahun lalu, Rusia telah menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan Malaysia agar Majlis Keselamatan PBB menubuhkan tribunal antarabangsa bagi mendakwa mereka yang disyaki menembak MH17.

“Namun dengan pendedahan terbaru ini, satu lagi resolusi boleh dibawa oleh Belanda atau negara-negara Majlis Keselamatan PBB termasuk Malaysia.

“Jadi, boleh usulkan balik (kepada Majlis Keselamatan PBB) untuk ambil tindakan dan minta isu itu diselesaikan,” katanya.

Namun menurutnya, PBB dengan negara-negara yang terlibat, Malaysia, Belanda, Ukraine, Belgium dan Australia boleh secara bersama mengenakan saman kepada pihak bertanggungjawab di mana-mana mahkamah.

“Contohnya pihak bertanggungjawab itu Rusia...boleh dikenakan saman tapi perkara ini bergantung juga kepada Rusia nak patuh ataupun tidak. Tapi kalau Rusia tak mengakui dia yang buat, walaupun ada tuntutan, saya rasa mungkin imej Rusia itu akan lebih terjejas di peringkat antarabangsa. Tapi macam mana pun Rusia boleh ambil sikap tak ambil tahu.

“Jalan tribunal PBB itu sebenarnya paling baik. Sebab PBB boleh kenakan tekanan kepada Rusia kalau Rusia tidak patuh kepada usaha yang dibawa PBB itu,” katanya.

Namun katanya, isu ini juga boleh diselesaikan tanpa melibatkan PBB mahupun mahkamah.

“Rusia boleh berurusan secara bilateral...dua hala antara dua negara. Antara Rusia dengan Malaysia, Rusia dengan Belanda serta negara terlibat yang lain. Malaysia dan Belanda mungkin akan letak harga pampasan yang perlu dibayar.

“Isu ini boleh selesai cepat dengan syarat Rusia mahu menyelesaikannya dengan cepat. Tapi kalau Rusia tak mengaku, maka ia akan menjadi panjang,” katanya.

Pesawat Boeing B777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 penumpang termasuk anak kapal ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.


0 comments:

share2