Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 25, 2016

'MEREKA SEMANGAT MENYANYI TAPI KITA MENANGIS'


'Mereka semangat menyanyi tapi netizen menangis'


Tidak semena-mena air mata tumpah, perasaan sebak menyapa sanubari tatkala melihat nyanyian atlet paralimpik yang berjaya mengharumkan nama negara di Rio.

Berminggu sudah kisah mereka menggegar bumi Rio berlalu, namun kehangatan masih terasa.

Kepulangan mereka disambut meriah kerana merekalah wira sejati. #KamiLuarBiasa memang gelaran paling tepat buat Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail.

Hakikatnya penulis masih belum boleh 'move on'. Nyanyian lagu Gemuruh oleh mereka bersama penyanyi Faizal Tahir benar-benar menyentuh hati.

Menerusi perkongsian di media sosial, video yang memaparkan persembahan nyanyian mereka bersama Faizal Tahir membuatkan ramai yang menitiskan air mata.

Di luar sana, netizen turut menzahirkan pelbagai komen sambil menyatakan sokongan untuk karier wira negara ini pada masa hadapan.

Menurut Zuriati Jantan, dia begitu terkesan dengan kejayaan atlet aralimpik negara dan apabila video itu ditatap, hatinya cukup sayu namun di situ terselit rasa bangga.

"Suka tengok mereka, nampak ikhlas... nampak puas dan sangat seronok. Well done! (Syabas) teruskan perjuangan," katanya.

Sementara itu, menurut Norzalinda Hamzah pula, melihat semangat mereka, ia menguatkan semangat dirinya yang bergelar ibu kepada anak kelainan upaya.

"Sebak! Tetiba bangga menjadi ibu kepada seorang anak Cerebral Palsy (CP), sebab sekarang semua orang sedang mempelajari mengenai CP, membuka mata masyarakat mengenai jenis-jenis kelainan upaya, tahniah! kalian bukan OKU tapi kalian luar biasa, terima kasih terutamanya Ridzuan," katanya.

Sementara Norzulaiqha Zulkifli pula berkata, dia merasakan video yang akan ditontonnya akan menyajikan bahan lawak jenaka, sebalikya lain pula yang berlaku.

"Memula tengok tidak ada apa-apa jangkaan, ingat lawak ke sebab ada Johan, tetiba empangan pecah pulak. Sebaknya! Tak sangka juga ramai yang rasa perkara yang sama," katanya.

Kata Zura Anuar pula, air matanya tumpah tatkala melihat Ridzuan Puzi memegang mikrofon.

"Meleleh deras bila Ridzuan Puzi pegang mikrofon dan ikut menyanyi, tidak boleh tahan," tuturnya.

Nabilah Jusoh pula berkata setiap kali keluar video atau berita mengenai Paralimpik Rio disiarkan, pasti air matanya akan keluar.

"Bangga tengok semangat mereka berkobar-kobar, semoga ALLAH kurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka semua, ingat ALLAH selalu," pesannya.

Dalam pada itu jelas Amirul Asraf mengharapkan mereka di angkat setaraf dengan masyarakat yang normal lain.

"Harap kita terus memartabatkan mereka setaraf dengan kehidupan kita, jangan pernah tinggalkan dan rendahkan azam mereka," katanya.

Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Rio melalui pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m.

Aksi cemerlang kontinjen negara diteruskan Abdul Latif Romly yang memenangi emas selepas memecahkan rekod dunia acara lompat jauh T20 dengan jarak lompatan 7.60m dan Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa dalam acara lompat jauh T20.


0 comments:

share2