Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 29, 2016

'MEK' KETAGIH TEH O AIS


‘Mek’ ketagih teh o ais


Selinsing - ‘Mek’ merupakan nama seekor kerbau betina berusia dua tahun yang dibela pemiliknya, Fikri Ezani Wan Chik, 34, sejak berusia sembilan bulan.

Tanpa semena-mena, nama Mek menjadi popular dalam kalangan penduduk Kampung Baru, di sini, sejak setahun lalu.

Masakan tidak, gelagat kerbau baka campuran kampung dan sapi itu amat unik, malah mempunyai tabiat meminum air teh o ais sebanyak dua kali sehari di sebuah kedai makan terletak berhadapan Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Baru, di sini.

Telatah Mek menunggu ‘habuan’ minuman teh o ais di belakang kedai makan berkenaan pada setiap jam 10 pagi dan 4 petang setiap hari bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat, malah turut menarik perhatian pengunjung dari ibu kota. 

Pemilik gerai, Jamilah Osman, 49, berkata, hampir setahun lalu, sudah menjadi rutin Mek berkunjung ke belakang premis perniagaannya untuk meminta minuman kesukaannya itu.

Setiap hari, Jamilah menceritakan Mek akan berjalan sejauh hampir satu kilometer dari kandangnya dan singgah di premisnya semata-mata menunggu ‘habuan’.

“Saya menganggap Mek haiwan yang ‘sopan’ kerana dia hanya berkunjung ke belakang kedai saya untuk meminta ‘habuan’ dan tidak pernah sesekali mengganggu pelanggan,” katanya.

Jamilah berkata, Mek seolah-olah memahami arahan lisan diberikannya dan apabila dia memanggil nama haiwan itu sambil menunjukkan bungkusan air minuman kegemarannya, Mek terus meluru ke belakang premisnya dengan segera.

“Mek juga manja dan hanya akan minum air disediakan jika seseorang menuangkannya ke dalam mulutnya.

“Selepas minum pada waktu pagi, Mek akan berjalan di sekitar sawah sebelum ke pinggir kuala sungai di kawasan jeti untuk berkubang.

“Selesai berkubang, Mek pastinya kembali untuk ‘meminta’ lagi minuman kegemarannya,” ujarnya.

Jamilah berkata, Mek amat menggemari minuman teh o ais kurang manis dan pernah satu ketika, dia terpaksa memberikan minuman air kelapa muda kepada haiwan itu setelah melihat ia sakit.

Menurutnya, dia langsung tidak terbeban dengan kehadiran Mek ke premisnya pada setiap hari, malah dia dan keluarga mula menyayanginya seperti keluarga sendiri.

“Walaupun Mek bukan haiwan ternakan kami, kami sentiasa anggap Mek sebagai tetamu istimewa dan menjadi sebahagian keluarga kami.

“Lebih melucukan, kedai makan saya kini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk malah pengunjung luar yang datang semata-mata untuk menyaksikan sendiri gelagat unik Mek,” katanya.

Sementara itu, pemilik kerbau istimewa ini, Fikri Ezani mendedahkan sikap degil dan tidak mendengar Mek pada awal usia dia dibela menjadi faktor dia diberi minuman teh o ais.

Menurutnya, kebiasaannya kerbau suka meminum air gula merah dicampurkan sedikit garam, namun Mek langsung tidak menyukainya dan membuat perangai.

“Saya beli Mek pada usia sembilan bulan dengan harga RM2,500 dan pada mulanya saya pening untuk tangani kerenah degil haiwan itu.

“Namun, apabila saya menuangkan air minuman teh o ais yang dibungkus ke dalam mulutnya, Mek amat menyukainya dan paling mengejutkan, sikapnya terus berubah menjadi jinak dan manja sejak peristiwa itu,” katanya.

Fikri Ezani berkata, selain minuman teh o ais, Mek juga menggemari minuman lain seperti Milo dan kopi.

Selain itu, Fikri menegaskan Mek juga memiliki gelagat unik lain seperti bersikap manja dengan anak-anaknya, suka berkubang di dalam air masin, tidak agresif sekiranya disentuh dan tidak pernah mengganggu premis niaga yang sering dikunjunginya.

“Saya sekeluarga tidak tergamak untuk menjual Mek kepada orang lain sebaliknya mahu terus membelanya.

“Lebih-lebih lagi sikap manja Mek terhadap keluarga saya dan sesiapa sahaja baru dikenalinya menjadi haiwan itu seolah-olah satu rahmat buat kami.

“Telatah manjanya bukan sahaja mencuri tumpuan penduduk malahan orang luar turut terpegun melihat aksi Mek meneguk air minuman dengan lahap berserta ais ketul,” katanya.


0 comments:

share2