Penduduk di 13 taman perumahan di kawasan Pandan melahirkan kebimbangan apabila tali air tanah yang ada tidak diselenggara hampir dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 28, Najhan Mohamed berkata, dengan pertambahan taman perumahan di kawasan itu dan kapasiti penduduk hampir 15,000, tali air tanah itu juga dilihat tidak sesuai untuk menampung aliran air yang banyak.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut kerana bimbang sebarang kemungkinan menjelang musim tengkujuh hujung tahun nanti.
“Tali air ini sudah ditumbuhi lalang kerana tidak di selenggara sejak 2014. Kawasan ini memang berisiko dilanda banjir, jadi, pihak bertanggungjawab perlu memberi tumpuan.
“Jika perlu, kami mencadangkan longkang konkrit dibina supaya sistem saliran lebih sistematik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Najhan berkata, kawasan itu yang pesat membangun sepatutnya mempunyai sistem saliran yang lebih baik.
Katanya, banjir besar yang melanda kawasan itu pada 2014 seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Kita tidak mahu banjir besar di kawasan ini berulang, tambahan pula projek pembangunan semakin bertambah.
“Jika tidak ditangani dengan baik, tidak mustahil kejadian banjir besar boleh berlaku sekali lagi,” katanya.
Najhan berkata, masalah tersebut sudah diajukan kepada Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar.
Justeru, pihaknya amat berharap ada tindakan sewajarnya diambil pihak bertanggungjawab.
0 comments:
Post a Comment