Kota Belud - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengucapkan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan serta pihak swasta yang telah berganding bahu menjayakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lepas.
Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan berkata melalui kerjasama semua pihak, majlis sambutan termasuk perbarisan Hari Kebangsaan berkenaan berjalan dengan jayanya.
"Alhamdulillah, perbarisan Hari Kebangsaan 2016 berjalan dengan lancar dan meriah sambutannya berkat daripada kerjasama semua pihak yang masing-masing telah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya untuk memastikan agar perjalanan perbarisan berjalan dengan baik," katanya.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanatnya sempena Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Belud di sini hari ini.
Katanya kerajaan juga mengucapkan terima kasih kepada semua penaja, sukarelawan Sehati Sejiwa serta pertubuhan bukan kerajaan yang turut sama menjayakan sambutan berkenaan.
Selain merakamkan penghargaan atas peranan pihak pasukan keselamatan yang telah berjaya memastikan perjalanan majlis sambutan dalam keadaan harmoni, Salleh turut mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan negeri yang turut menyumbang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan itu.
0 comments:
Post a Comment