Bagan Datoh - Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi menumbangkan kerajaan BN dilihat tidak akan menjadi semudah apa yang dikatakannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin cadangan berkenaan merupakan cadangan yang sukar diterima oleh semua parti pembangkang.
"Walaupun sifat pemaaf itu harus ada pada seseorang yang berjiwa besar tetapi mustahil tidak ada parut yang tertinggal.
"Jadi atas parut itulah saya yakin cadangan berkenaan sukar diterima untuk menyatukan semua parti dalam satu wadah kerana tokoh berkenaan juga menyebabkan parti-parti berkenaan masih berduka dan ada parut politik," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan 130 ekor lembu sempena Hari Raya Aidil Adha bagi Parlimen Bagan Datoh, semalam.
Tambah Ahmad Zahid, walaupun adanya perkahwinan politik yang bakal dijalinkan ia hanyalah berbentuk sementara bagi mencapai tujuan pemimpin berkenaan.
"Janganlah ia dijadikan sebagai kuda tungangan untuk mencapai sesuatu tujuan kerana keikhlasan politik tersebut jelas dari tindakan yang dilakukannya.
"Ramai yang melihat tindakan tersebut semata-mata untuk mencapai tujuan seseorang dan diuruskan oleh orang lain seolah-olah memperlihatkan ada kesatuan dikalangan pimpinan parti berkenaan," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, era lama pemimpin berkenaan telah lama berlalu dan jika ditanya mana-mana organisasi mereka mahukan pembaharuan.
"Jika lagu lama masih dimainkan apatah lagi lagu politik dan lagu kebencian didendangkan, tentulah tidak ada timbal balas baik diterima oleh mana-mana pengikut dan organisasi yang mahukan perubahan," katanya.
0 comments:
Post a Comment