Tapah - Seorang ibu meminta penjelasan pihak pengurusan sebuah tabika swasta selepas mendakwa anaknya dipukul sehingga menyebabkan kanak-kanak itu trauma untuk kembali ke sekolah.
K Deepa Shalini, 30, berkata, dalam kejadian Isnin lalu, anak sulungnya berusia 6 tahun mengadu dipukul seorang tukang cuci tabika berkenaan di bahagian belakang badan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anaknya itu muntah-muntah dan demam serta enggan ke sekolah kerana bimbang dicederakan.
“Saya hanya minta penjelasan serta permohonan maaf daripada tukang cuci itu, tidak lebih dan tidak kurang, tapi dia menafikan dan sempat pula suruh saya buat laporan polis jika tidak berpuas hati,” katanya.
Deepa Shalini yang tidak berpuas hati dengan penjelasan tukang cuci tersebut kemudiannya mengadu kepada pihak pengurusan sekolah, namun tidak diendahkan.
Katanya, melihat keadaan itu, dia membuat laporan polis agar tindakan dapat diambil.
“Sampai sekarang saya masih belum menerima jawapan daripada mana-mana pihak, saya minta agar perkembangan hasil siasatan dapat diberitahu kepada saya,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi meminta ibu berkenaan tampil mengemukakan aduan kepada JKM terdekat.
Menurut salah seorang pegawai jabatan berkenaan, laporan berkenaan bagi memastikan tindakan lanjut boleh diambil termasuk pemantauan ke tabika terbabit.
“Memandangkan kanak-kanak berkenaan dilaporkan trauma, mungkin kita juga boleh menyediakan perkhidmatan kaunseling,” katanya.
0 comments:
Post a Comment