Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 22, 2016

TERKILAN TIADA JEMPUTAN


Terkilan tiada jemputan


Bagan Datoh - Seorang wanita, Rosnani Maseh, 59, terkilan tidak pernah terima jemputan menyertai sambutan kemerdekaan tanah air walaupun dilahirkan pada 31 Ogos 1957.

Ibu kepada tiga cahayamata itu berkata, setiap tahun dia menanti jika ada jemputan dari mana-mana pihak memintanya hadir pada sambutan hari kemerdekaan.

“Pada mulanya saya rasa sedikit sedih terutamanya apabila melihat berita anak-anak merdeka yang lahir pada tarikh dan tahun sama seperti saya diraikan.

“Tetapi lama-kelamaan saya sudah biasa kerana apa yang penting adalah kesetiaan kepada negara dan menyambutnya bersama ahli keluarga,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nenek kepada enam cucu ini tetap melahirkan rasa bersyukur atas keprihatinan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), serta Wanita Umno Parit 11, Batu 17 Hutan Melintang meraikan hari lahirnya bersama hari kemerdekaan setiap kali 31 Ogos.

Dia yang dilahirkan di Kampung Sungai Lang, Parit Baru, Sabak Bernam turut berasa bertuah kerana dilahirkan pada tarikh keramat di mana tanah air mencapai kemerdekaan.

“Setiap kali mendengar laungan merdeka menerusi televisyen secara automatik air mata akan menitis kerana terlalu gembira dan berasa istimewa hari lahir saya diraikan pada hari merdeka,” katanya.

Sementara itu, suami Rosnani, Satari Majid, 66, berkata, setiap tahun dia dan anak-anak akan mengadakan kenduri kesyukuran apabila tibanya tarikh 31 Ogos.

"Kami mahu meraikan ulang tahun kelahiran isteri dan juga menyambut hari kemerdekaan negara Malaysia,” katanya.


0 comments:

share2