Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 26, 2016

SUSPEK CABUL MURID TAHUN DUA SERAH DIRI


'Dia kata ada kawan terperangkap dalam stor tapi...'


Kuala terengganu - Seorang lelaki yang diburu polis selepas dipercayai cuba mencabul seorang murid tahun dua di dalam stor sebuah sekolah di Dungun, Isnin lalu, ditahan setelah menyerah diri petang semalam.‎

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki berusia 19 tahun berasal dari Kampung Pak Sabah, Dungun, menyerah diri di Balai Polis Dungun, kira-kira jam 4.15 petang.

Jelasnya, sebelum ini, polis yang sudah mengenalpasti identiti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesannya dibeberapa lokasi termasuk rumah keluarganya, namun lelaki itu dipercayai sudah melarikan diri.

"Mengetahui dirinya diburu, dia terus menyembunyikan diri dan berkemungkinan selepas dipujuk oleh keluarga, akhirnya dia mengalah, malah bapanya sendiri telah menyerahkan kepada kami petang tadi di balai.

"Setakat ini, siasatan kita mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Malah kita juga menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau masalah psikologi," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama Ketua Polis, Datuk Rosli Abd Rahman.

Dalam masa sama, Wan Abd Aziz turut menasihatkan pihak sekolah agar dapat meningkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sekolah bagi mengelak kejadian sama berulang kembali.

"Kita juga masih menyiasat bagaimana suspek boleh memasuki kawasan sekolah berkenaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, Isnin lalu, seorang murid tahun dua sebuah sekolah rendah di Dungun dipercayai menjadi mangsa cabul seorang lelaki tidak dikenali di dalam sebuah stor di sekolah berkenaan.

Ketika kejadian, murid berkenaan sedang menaiki tangga blok bangunan sekolah untuk memasuki Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) sebelum didatangi suspek yang mengajaknya ke stor sekolah berkenaan dengan alasan ada murid terkurung di dalam stor.

Kanak-kanak berkenaan yang enggan menuruti kehendak suspek kemudian didukung oleh lelaki berkenaan masuk ke dalam stor berkenaan.

Murid perempuan berusia lapan tahun itu bagaimanapun terselamat selepas bertindak menjerit menyebabkan suspek panik lalu melarikan diri dengan memanjat tembok pagar sekolah.


0 comments:

share2