Ipoh – Disangka monyet, seorang pesara pegawai kerajaan secara tidak sengaja menembak lelaki yang berada di atas pokok rambutan di Kampung Chepor Dalam di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, satu das tembakan mengenai lengan kanan mangsa lelaki yang berusia 63 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pesara berusia 64 tahun itu sedang berehat di rumahnya abang iparnya telah ternampak satu pergerakan di atas pokok rambutan kira-kira 50 meter darinya.
“Beliau menyangka pergerakan itu adalah monyet dan kemudiannya telah keluarkan pistol miliknya dan melepaskan tembakan ke arah pokok berkenaan.
“Tiba-tiba pengadu terdengar satu suara keluhan kesakitan dan beliau terus menuju ke arah pokok berkenaan dan mendapati satu lelaki telah cedera di bahagian lengan kanan,” katanya.
Menurutnya, menyedari mangsa terkena tembakan, lelaki berkenaan terus membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.
“Laporan polis telah diterima dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960,” katanya.
0 comments:
Post a Comment