Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 12, 2016

MEMAHAMI FATWA MUFTI


Pokemon Go


Heboh ketika ini di laman sosial warga netizen memperkatakan tentang ‘fatwa’ pengharaman permainan Pokeman Go. Ramai yang mempertikai dan tidak kurang pula memperlekeh mufti yang dikatakan mengeluarkan fatwa ini.

Mengikut undang-undang hanya fatwa yang digazetkan sahaja disifatkan sebagai fatwa yang wajib dipatuhi. Mengingkarinya merupakan suatu kesalahan. Namun jika para mufti menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya ia bukanlah fatwa dari lensa perundangan, tetapi sekadar pandangan mufti yang tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Kedudukan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti dan diwartakan oleh kerajaan pernah dicabar di mahkamah beberapa tahun lalu. Dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan Kerajaan Negeri Terengganu di Mahkamah Persekutuan telah dihujahkan bahawa fatwa-fatwa mufti yang telah diwartakan itu adalah tidak berperlembagaan dan terbatal. Hujahan sebegini mempunyai implikasi yang besar terhadap institusi mufti di Malaysia. Walau bagaimanapun Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti dan digazetkan bukanlah tidak berperlembagaan tetapi sah mengikut undang-undang.

Kesan daripada penghakiman tersebut, fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Malah terdapat kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri apabila seseorang itu melanggar fatwa mufti yang telah digazetkan dan boleh dihukum.

Pada masa ini masyarakat sudah tidak segan silu lagi mempertikai dan mempersenda fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti walaupun digazetkan. Gambaran yang diberikan, mufti mengeluarkan fatwa secara semberono dan tidak ada kajian dilakukan. Walaupun ahli jawatankuasa fatwa membuat keputusan secara sebulat suara, hanya mufti sahaja yang menjadi sasaran kritikan seolah-olah mufti secara berseorangan membuat fatwa tersebut. 

Realitinya sekarang tanpa disedari ramai ingin menjadi 'mufti'. Orang awam di kedai kopi juga berebut-rebut ingin mengeluarkan fatwanya sendiri berdasarkan kepentingan logik akal dan juga pemahaman mereka sendiri. Mereka tidak menyandarkan pandangan kepada dalil-dalil dan pandangan ulama yang diterima dalam Islam.

Apabila fatwa mufti pula tidak selari dengan pandangan mereka, fatwa tersebut diherdik tanpa menghormati ulama-ulama yang berada dalam jawatankuasa fatwa tersebut. Senario ini sebenarnya amat membimbangkan kerana umat Islam sudah tidak lagi menghormati institusi agama. Inilah cabaran yang dihadapi sekarang apabila satu persatu institusi agama dipertikaikan. Natijahnya institusi agama ini akan berada jauh dari hati orang Islam dan tidak lagi akan menjadi rujukan umat Islam.

Atas nama hak asasi, undang-undang Islam sering kali dipertikaikan sama ada oleh orang Islam ataupun yang bukan Islam. Hak asasi sebenarnya tidak memberi tiket kepada seseorang untuk menghina mana-mana agama, khususnya agama Islam yang telah menjadi agama bagi Persekutuan sebagaimana yang terdapat dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya jika seseorang itu tidak sependapat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti, forum yang sesuai untuk membincangkan pandangan tersebut bukanlah melalui media. Sepatutnya orang yang tidak bersependapat tersebut hendaklah mengumpulkan segala bukti dan dalil yang menyokong pandangannya serta berdialog dengan ahli jawatankuasa fatwa bagi mencari jalan penyelesaian. Pergeseran pandangan yang diuar-uarkan melalui media sosial tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Ia akan menambahkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam sahaja.

Oleh hal yang demikian adalah amat penting bagi orang Islam dan bukan Islam menghormati institusi mufti dan mufti itu sendiri. Para mufti adalah ulama yang merupakan waris para nabi. Fatwa yang dibuat oleh mufti bukan dibuat dalam sekelip mata sahaja. Saya berkesempatan menghadiri beberapa dialog Jabatan Mufti dalam usaha mereka menggarap apa-apa fatwa yang difikirkan sesuai dan diperlukan oleh masyarakat. Saya hadir sebagai rujukan dalam bidang perundangan dan saya mendapati perbincangan yang diadakan begitu mendalam termasuklah mengambil kira pandangan-pandangan tertentu yang diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Kita sebenarnya amat bernasib baik apabila penghakiman dalam kes Sulaiman Takrib di atas memihak kepada kita. Sekiranya ia tidak berpihak, fatwa mufti akan tinggal seperti nasihat sahaja dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang pula. Walaupun di pusingan pertama tersebut kita menang janganlah dalam perjuangan kita bersama ini kita kalah pula hasil usaha orang Islam sendiri yang tidak faham tentang institusi mufti atau bagaimana fatwa itu sendiri dibuat. 

* Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


0 comments:

share2