Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

MALAYSIA TERIMA PROTOL MADRID


perubahan iklim


Kuala Lumpur - Malaysia membuktikan komitmennya dalam menangani isu perubahan iklim dan melindungi sumber Antartika, dengan mengambil langkah untuk menerima pakai Protokol Madrid di Washington DC, Amerika Syarikat pada 15 Ogos lalu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata, protokol itu akan mula diguna pakai di Malaysia mulai 15 September depan.

"Pada ketika kita meraikan ulang tahun ke-25 Protokol Madrid, kita perlu mematuhinya bagi memastikan perlindungan dan penilaian berterusan ke atas impak menerusi penyelidikan alam sekitar dan pengurusan di Antartika," katanya.

Protokol Madrid adalah protokol ke atas perlindungan alam sekitar kepada Perjanjian Antartika.

Madius berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat dwitahunan Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika (SCAR) serta Persidangan Sains Terbuka 2016, di sini malam ini.

SCAR adalah jawatankuasa di bawah Majlis Sains Antarabangsa dan dipertanggungjawabkan dengan pengenalan, promosi dan penyelarasan penyelidikan saintifik di Antartika.

Dalam ucapannya, menteri itu berkata Akta Antartika Malaysia, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan, adalah penting untuk urus tadbir rakyat Malaysia yang bekerja di Antartika.

Katanya, 'Road Map Kutub' pula diadakan untuk membangun dan menentukan arah aktiviti sains kutub di Malaysia.

Madius memberitahu hadirin, Malaysia bersama negara lain, secara proaktif mengambil langkah untuk menangani isu perubahan iklim dan perlindungan sumber Antartika.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia berjaya mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 33 peratus pada 2013.

"Kami bercadang mengurangkannya lagi kepada 45 peratus menjelang 2030," katanya.

Madius berkata, Malaysia adalah antara beberapa negara Tropika yang terbabit dalam penyelidikan kutub apabila mewujudkan Program Kajian Antartika Malaysia pada 1998.

"Ada antara kajian saintifik kami yang disiarkan dalam jurnal kutub terkemuka dan jurnal klimatologi. Terdapat juga minat untuk menguji produk kami seperti getah, minyak sawit, koko, balak dan lain-lain dalam keadaan ekstrim," katanya.

Malaysia menjadi anggota penuh SCAR pada 2008 dan pada Oktober 2011, ia mempersetujui Sistem Perjanjian Antartika (ATS).

Persidangan dari 20 hingga 30 Ogos ini, yang bertemakan 'Antartika dalam Sistem Bumi Global: Dari Kutub ke Tropika', dihadiri lebih 900 peserta dari 40 negara.


0 comments:

share2