Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 24, 2016

LIPIS PUSAT PERTUMBUHAN EKONOMI


Lipis pusat pertumbuhan ekonomi


Pembangunan dirancang dan dipacu Majlis Daerah Lipis (MDL) menjadikan sektor perniagaan serta pelancongan di Lipis semakin berkembang, sekaligus menjadikan bandar bersejarah itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi setempat.

Projek pembinaan premis baharu antara fokus utama pembangunan bandar apabila pelbagai prasarana perniagaan rancak dibina di Bukit Residen dan Bandar Baharu Lipis.

Bandar Kuala Lipis yang pernah menjadi ibu negeri Pahang pada abad ke-19 semasa pentadbiran era kolonial di bawah Residen British, Sir Hugh Clifford merupakan bandar transit pengunjung dan kenderaan dari Lembah Klang ke negeri Kelantan.

Disebabkan itu, Pusat Perniagaan Bukit Residen tersergam megah yang bakal beroperasi pada September ini memberi pelbagai perkhidmatan sosial dan kemudahan berbelanja kepada penduduk.

Projek berkenaan merupakan usaha sama antara MDL dengan Jalih Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan terkenal di daerah ini malah lapan unit kedai tiga tingkat, siap dibina.

Setiausaha MDL, Mohd Pauzi Abu Hussaini berkata, setiap unit premis dibina yang bernilai RM800,000 merupakan pusat perniagaan terbesar seperti di bandar lain negeri ini, iaitu Kuantan dan Temerloh. 

“Projek dibangunkan tahun lalu itu terletak di kaki Bukit Residen berdekatan hotel, balai polis dan kompleks sukan bakal menjadi pusat tumpuan penduduk dan pengunjung berbelanja dan bersiar.

“Sebanyak empat premis disewakan kepada Koperasi Kakitangan Majlis Daerah Lipis (Kesukma), manakala empat lagi diperuntukkan untuk penyewa yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyerahkan replika kunci premis kepada penyewa, di sini kelmarin.

Mohd Pauzi berkata, selain projek Bandar Baharu Lipis, projek premis Bukit Residen antara kompleks perniagaan bakal melonjak bandar Kuala Lipis sebagai pusat tumpuan pengunjung untuk berbelanja di Pahang barat.


0 comments:

share2