Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

LIMA PARAH, 18 PENGSAN SESAK NAFAS


Lima parah, 18 pengsan sesak nafas


Chukai – Lima kakitangan Unit Vektor Klinik Kesihatan Chukai cedera parah sementara 18 lagi pengsan dan sesak nafas apabila stor simpanan minyak dan bangunan unit itu terbakar dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di klinik itu semalam.

Ketika kejadian, tiga kakitangan unit itu sedang menyelenggarakan sebuah kenderaan mesin ULV sebelum secara tiba-tiba berlaku satu letupan kecil dan menyebabkan berlaku kebocoran minyak hingga kenderaan itu terbakar dan api merebak ke stor simpanan minyak sehingga ke bangunan unit vektor yang menyimpan racun serangga.

Difahamkan, kenderaan itu diservis berikutan tidak berfungsi dengan baik semasa aktiviti kawalan denggi yang dilakukan kelmarin.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Rafiee A Karim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 pagi dan tiba ke lokasi dengan kekuatan dua jentera serta 12 anggota pada lima minit kemudiannya.

“Kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran memakan masa kira-kira 20 minit dan kesemua mangsa yang kritikal dikejarkan ke Unit Trauma Hospital Kemaman (HK) menggunakan dua ambulans HK dan masing-masing sebuah ambulans Klinik Kesihatan Kuala Kemaman, Klinik Kesihatan Kijal dan Klinik Kesihatan Kemasik untuk mendapatkan rawatan segera.

“Lima lagi mangsa dihantar mendapatkan rawatan ke Klinik Kesihatan Batu 2½ di Jalan Air Putih,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan hanyalah Latihan Simulasi Bencana Klinik Kesihatan Chukai yang dilakukan dengan kerjasama BBP Chukai buat pertama kali bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kakitangan berkaitan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran.

Menurut Rafiee, inisiatif pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman mengadakan simulasi itu wajar dipuji kerana mengambil berat akan aspek keselamatan kakitangan dan pelanggannya iaitu orang ramai yang menggunakan perkhidmatan klinik tersebut.

“Menerusi simulasi ini, kakitangan klinik mendapat asas pencegahan dan pengawalan kebakaran dan boleh mempraktikkannya bukan hanya ketika berada di klinik sebaliknya juga boleh dipraktikkan di rumah. Mereka terdedah dengan cara penggunaan alat pemadam api dengan betul,” katanya.

Pegawai Epidemiologi Daerah Kemaman, Dr Noor Hamidah Che Ali berkata, latihan simulasi itu melibatkan seramai 150 kakitangan Klinik Kesihatan Chukai dan wakil setiap klinik kesihatan seluruh Kemaman.

“Ini sebagai cara kita untuk menilai langkah siap sedia menghadapi bencana. Latihan ini berbeza dengan latihan kebakaran lain kerana turut melibatkan bahan kimia iaitu racun. Jadi ia dapat beri ilmu kepada semua kakitangan dan menjadikan kita lebih berwaspada.

“Di samping itu, kita dapat memupuk kerjasama antara kakitangan dengan pelbagai agensi dalam meningkatkan kesedaran latihan,” katanya.


0 comments:

share2