Kuala Terengganu - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta bagi membina 160 buah rumah kepada golongan fakir dan miskin di setiap daerah, bermula tahun ini.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia bagi membolehkan golongan asnaf zakat itu memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, Maidam kini sedang mengenal pasti kawasan yang bersesuaian di setiap daerah bagi membina rumah kos rendah itu.
“Bagi peringkat permulaan ini, Maidam akan membina 20 buah rumah kos rendah di setiap daerah di kawasan yang bersesuaian dan projek itu akan bermula di Jertih, Besut sebelum hujung tahun ini.
“Kita sudah mengemukakan permohonan kepada Adun di setiap daerah untuk menyediakan satu kawasan bagi pembinaan rumah berkenaan. Kos yang diperuntukkan sebelum ini sebanyak RM40,000 juga akan dipertingkatkan kepada RM60,000 bagi menjamin keselesaan pemilik rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad kepada Maidam di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, FGV yang diwakili Naib Presidennya, Mohd Najib Yahya menyerahkan zakat perniagaan kepada Maidam sebanyak RM468,142.
Turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Azam Awi dan Pengurus Besar FGV Wilayah Timur, Abd Rahman Mohd Zain.
Dalam perkembangan berkaitan, Shaikh Harun berkata, pihaknya juga akan membelanjakan RM1 juta bagi membiayai kos pembayaran balik rumah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang tertunggak oleh 50 pemilik yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan bayaran semula rumah berkenaan kerana pelbagai faktor.
Jelasnya, Maidam telah mengenal pasti 50 pemilik rumah PMINT di negeri ini yang tidak mampu untuk menjelaskan tunggakan berkenaan, antara lainnya kerana kematian suami dan hilang punca pencarian kerana faktor kesihatan.
“Kita mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka dengan menjelaskan kesemua tunggakan rumah itu dan pihak PMINT juga memberi kerjasama dengan mengurangkan kos pembayaran itu.
“Jumlah tunggakan yang perlu dijelaskan Maidam antara RM15,000 hingga RM20,000, bergantung kepada jenis rumah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment