Gajah yang pernah muncul di kawasan rumah dua tahun lalu kini kembali menghantui pasangan suami isteri di Kampung Som, di sini apabila mereka sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran haiwan liar itu, kelmarin.
Saadiah Yusof, 76, berkata, pada hari kejadian, dia dan suami, Ishak Mat Ali, 79, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di sekitar kawasan rumah pada kira-kira jam 4 pagi.
Katanya, pada mulanya dia menyangka bunyi didengarinya itu adalah sekumpulan babi yang keluar mencari makan, namun selepas ditinjau, tiada apa-apa yang mencurigakan.
“Kemudian saya sambung tidur balik. Masa tu saya dengar bunyi seperti dahan dipatahkan lalu terus kejutkan suami.
“Suami pergi tengok belakang rumah sebab sangka bunyi dari belakang, rupanya di tepi rumah. Tapi kami tak sangka ia gajah, jadi sambung tidur balik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Menurutnya, keesokan pagi baru dia mengetahui bahawa bunyi bising itu datang dari gajah berdasarkan kesan-kesan ditinggalkan.
Sementara itu, Ishak berkata, mereka sudah biasa dengan kehadiran gajah liar di kawasan kebun yang jauh dari rumah, namun insiden kelmarin merupakan kali kedua gajah liar terbabit datang berhampiran kawasan rumah.
“Kami tak kisah lagi dengan kehadiran beruk dan kera sebab mereka hanya datang untuk ambil buah. Tapi gajah ini bahaya sebab besar. Boleh bahayakan nyawa,” katanya.
Menurutnya, akibat pencerobohan haiwan liar itu, pokok getah, kelapa, tebu dan pisang di hadapan rumahnya rosak.
Ishak berkata, selepas pencerobohan pada 2013, satu pagar elektrik dipasang bagi menghalang gajah memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Ia berfungsi sepenuhnya pada tahun lalu. Gajah berhenti ganggu sekitar tahun itu dan kini saya tak tahu bagaimana ia boleh datang balik sedangkan pagar elektrik dah dipasang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Tanam Semula Berkelompok Pekebun Kecil kampung ini, Abdul Kamal Abdul Malek, 62, berkata, dia dimaklumkan bekalan elektrik pagar terbabit terputus berikutan sebatang pokok tumbang di kawasan terbabit.
“Saya dimaklumkan pagar elektrik terbabit telah dibaiki namun saya harap pemantauan berterusan dibuat supaya ia terus berfungsi.
“Sebagai Pemaju Masyarakat Risda, saya amat prihatin dengan masalah ini kerana gangguan gajah ini memang mendatangkan kerugian besar buat pekebun,” katanya ketika berkunjung ke rumah Ishak bagi meninjau kebun getah yang dirosakkan haiwan liar itu.
0 comments:
Post a Comment