Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 24, 2016

‘BUKAN SEKADAR LAUNG MERDEKA'


‘Bukan sekadar laung merdeka’


Seremban - “Sebagai bekas anggota tentera, saya tak perlukan jasa dan pengorbanan saya dinilai, tapi cukuplah rakyat tanpa mengira kaum jaga kemerdekaan negara kita ini."

Itu harapan pesara tentera, Adnan Ahmad, 61, yang pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Walaupun bukan sebagai pejuang merdeka, namun mengenang kembali jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu, ia menjadi sensitif buat dirinya apabila ada yang sengaja mengundang tindakan boleh menjejaskan keamanan negara sedia ada.

Menurutnya, jika dahulu pejuang mengangkat senjata demi mempertahankan maruah diri, keluarga, bangsa dan negara, tapi hari ini, ia sebenarnya lebih sukar.

“Penjajahan yang boleh berlaku hari ini lebih berbahaya kerana boleh berlaku pelbagai cara.

“Jangan biar anasir jahat merosakkan apa kita kecapi dengan sekelip mata. Paling penting, aspek perpaduan perlu diberi perhatian generasi pascamerdeka,” katanya.

Menceritakan pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat sebagai tentera, Adnan berkata, sehingga kini dia masih terbayang bagaimana kaki rakan seperjuangan putus selepas terpijak jerangkap samar dipasang musuh.

Malah katanya, perasaan takut itu lebih kuat terasa ketika buat persiapan pulang, berbanding ketika mula-mula berada di medan pertempuran kerana bimbang jika berlaku serang hendap daripada musuh.

“Memang kita gembira sebab operasi dah berakhir, tapi selagi tak keluar dari lokasi perang, ia bukan penentu kami akan selamat pulang.

“Sebab itu saya cukup terasa jika ada yang memperlekehkan peranan tentera. Hanya mereka yang pernah bergelar tentera dan berada di medan perang sahaja tahu bagaimana susahnya berjuang memastikan keselamatan dan keamanan negara.

“Kami bukan sahaja meninggalkan keluarga, tetapi juga ibarat memperjudikan nyawa sendiri berdepan musuh kerana belum tentu lagi kami selamat pulang,” katanya.

Adnan berkata, mungkin ramai selesa dengan kemajuan dicapai negara ketika ini sehingga ada yang tidak mahu memikirkan soal merdeka.

Katanya, penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaungkan 'merdeka', tetapi perlu diserap dalam jiwa dan kesedaran bukan sekadar tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga sedar kemerdekaan wajib dipertahankan.

Pengalaman duduk atas jerangkap samar

“Jangan bangun!” tegah salah seorang rakan setugas kepada Koperal (B) Nor Azam Saad, 46, selepas mengesan ancaman.

Mendengar amaran diberikan, dia memahami bahaya yang menanti, lantas segera membatukan diri.

Dia yang ketika itu sedang mengikuti operasi memburu komunis dan mengawal sempadan di Gubir, Kedah, rupa-rupanya sedang duduk di atas jerangkap samar.

Tatkala itu kata Nor Azam, dengan peluh menitik, situasinya tidak ubah seperti telur di hujung tanduk, lantas bayangan kematian serta-merta menerpa dalam kotak fikirannya.

“Kejadian tu berlaku sekitar 1992. Saya dengan seorang lagi rakan yang terkena. Namanya Alias, tapi alhamdulillah, umur kami berdua masih panjang.

“Perangkap tu dapat dimusnahkan dalam tempoh lebih kurang setengah jam. Seingat saya, Koperal Zainuddin yang bantu,” katanya.

Itulah pengalaman paling tidak dapat dilupakan Nor Azam sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Walaupun sudah lama berlalu, katanya, bulu romanya pasti akan meremang setiap kali mengenang kembali insiden terbabit.


0 comments:

share2