Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 18, 2016

BEREGU LELAKI HARAPAN MALAYSIA BURU EMAS


Beregu lelaki harapan Malaysia buru emas


Tinggal dua lagi harapan bagi skuad badminton negara, meneruskan misi memburu pingat emas pertama Malaysia sebelum berakhirnya Sukan Olimpik Rio yang melabuhkan tirainya pada Ahad. 

Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal melakar nama sebagai pemegang pingat emas pertama negara, apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir pada final, Rabu.

Kemenangan beregu campuran Indonesia itu sangat bererti kerana mereka menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik Rio untuk negaranya dan Malaysia menaruh harapan kepada pasangan beregu lelaki badminton negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan menentang pemain China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada aksi final Jumaat.

V Shem-Wee Kiong menaruh harapan tinggi untuk merangkul emas, selepas membuat kemunculan semula, menewaskan pasangan nombor empat dunia itu, 21-16, 15-21, 21-18 dalam perlawanan peringkat kumpulan. 

Rekod pertemuan antara mereka menyebelahi Malaysia dengan 2-1.

"Kami datang sejauh ini dan kami tidak akan berundur kerana tumpuan kami kini adalah untuk merangkul emas. Melepasi semua pusingan membuatkan kami lebih kuat untuk bertarung pada aksi final," kata V Shem.

Selepas pasangan beregu campuran mengutip pingat perak kedua negara dan satu pingat gangsa oleh pelumba basikal Azizulhasni Awang, negara sekali lagi terpaksa menunggu perlawanan V Shem-Wee Kiong untuk menyumbangkan pingat emas yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Pada ketika V Shem-Wee Kiong melangkah ke final, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pula, hanya dua langkah untuk merealisasikan impiannya merangkul pingat emas pada penampilan terakhir beliau dalam Sukan Olimpik.

Pemain nombor satu dunia itu akan berdepan musuh ketatnya, Lin Dan pada aksi separuh akhir perseorangan lelaki esok dan kemungkinan bertemu seorang lagi pemain dari Tembok Besar China, Chen Long pada perlawanan akhir.

Lin Dan mengecewakan Chong Wei dua kali pada aksi final, di Beijing 2008 dan London 2012.

Bagaimanapun, Chong Wei dan Lin Dan berkongsi impian sama - untuk mengucapkan selamat tinggal temasya Sukan Olimpik di Rio dan mahu meninggalkan pencapaian terbaik dalam karier mereka.

Chong Wei, 33, bertekad merangkul pingat emas Olimpik pertamanya manakala Lin Dan yang setahun lebih muda, mengimpikan pingat emas untuk memahat rekod sebagai satu-satunya pemain yang melakar kejuaraan hatrik Olimpik dalam penampilan keempat mereka di Olimpik bagi kedua-dua pemain itu. 

"Kami mahu melakukan aksi terbaik pada penampilan terakhir Olimpik kali ini dan saya tidak bersedia untuk sesiapa sahaja menggagalkan impian saya itu," kata Lin Dan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain legenda veteran ini mungkin menghadapi kejutan daripada Chen Long, 27, seorang lagi pemain China yang bakal menggantikan Lin Dan.

Chen Long juga beraksi di separuh akhir menentang pemain Denmark berusia 22 tahun, Viktor Axelsen.


0 comments:

share2