Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 13, 2016

[BERA] KUBUR LAMA DIALIH


Kubur lama dialih


Enam kubur lama yang dipercayai berusia antara 80 hingga 100 tahun dialihkan ke Tanah Perkuburan Jelam dan Tanah Perkuburan Tanjung Belenggu, kelmarin.

Pengerusi KRT, Amran Sulong berkata, kerja pengalihan kubur lama itu terpaksa dilakukan berikutan projek naik taraf jalan persekutuan FT10 yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, sebuah kubur digali di perkarangan rumah seorang penduduk di Kampung Jelam, manakala lima lagi di kawasan kebun milik penduduk Kampung Tanjung Belenggu, berhampiran jambatan bersempadan antara Bera dan Temerloh.

“Kubur ini dah lama sangat. Kalau ikut orang lama di sini, mereka beritahu sekitar 1926, kubur-kubur itu sudah ada di sini.

“Jadi, warisnya pun kita tidak ketahui. Selepas mendapat pandangan pihak berkaitan, kubur ini perlu dialihkan bagi memastikan projek naik taraf (melebarkan jalan) ini berjalan lancar,” katanya.

Seorang waris pemilik tanah, Normi Alias, 57 pula berkata, kubur di hadapan rumah yang kini menjadi milik adiknya itu wujud sejak dia kecil.

Menurutnya, arwah neneknya pernah menceritakan peristiwa pelik mengenai kubur lama itu, tetapi dia difahamkan, neneknya juga tidak mengetahui siapa dikebumikan di situ.

“Kalau arwah nenek pun tak tahu, kami semua lagilah tak tau. Tapi, arwah selalu cerita benda-benda pelik yang berlaku sejak kubur itu ada di sini, dan saya sendiri juga pernah nampak bayangan putih beberapa kali di tengah malam.

“Arwah nenek juga pernah cerita, ‘pemilik’ kubur ini juga kerap bergurau apabila mengalihkan semua durian yang dikumpulkan atas kubur itu sehingga memaksa arwah nenek memotong batu nesan menggunakan parang, kononnya meminta agar tidak bergurau dengan cara begitu,” katanya.

Normi berkata, mewakili keluarganya, dia bersyukur kerana kerja mengalihkan kubur itu berjalan lancar, walaupun tiada sebarang rangka ditemui di dalamnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Belenggu, Abu Bakar Yaakob berkata, empat kubur yang terletak bersebelahan dan satu lagi agak jauh, tidak diketahui milik siapa kerana tiada waris menziarahi.

“Kita tak tahu, mungkin ada waris yang mencari kubur lama ini atau sekurang-kurangnya, ada pihak yang boleh mengkaji kubur lama ini untuk mengetahui sejarahnya.

“Tetapi, disebabkan jalan ini perlu dinaik taraf, ia terpaksa dialihkan,” katanya.

Seorang penggali kubur, Kamarudin Bakar, 58, berkata, sekiranya tiada projek naik taraf jalan dilaksanakan, kubur itu seharusnya dibiarkan di tempat asal bagi menghormati jenazah.


0 comments:

share2