Sebanyak 10 rumah rosak akibat kejadian ribut di Taman Permai, Chamang di sini, Sabtu lalu.
Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, angin kencang menyebabkan empat daripada 10 rumah penduduk terjejas teruk dan kebanyakannya rosak pada bahagian bumbung.
Zulkhairi yang juga Sekretariat Bencana Daerah Bentong berkata, terdapat beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
“Mangsa, yang rumahnya mengalami kerosakan serius kini menumpang di rumah jiran atau saudara masing-masing dan tiada sebarang pusat pemindahan dibuka.
“Bantuan kecemasan terus diberikan kepada mangsa terlibat oleh agensi bertanggungjawab dan kami sedang mengumpulkan data maklumat rumah dan kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita di Pejabat JPAM Daerah Bentong, semalam.
Sementara itu, mangsa, Mohd Faisal Abdul Rahim, 41, berkata, dia bersama lima anaknya berada dalam rumah ketika ribut berkenaan sebelum bumbung di ruang tamu dan beranda tiba-tiba tercabut diterbangkan angin.
"Bumbung rosak teruk, termasuk bahagian garaj kereta. Tak sangka ribut sebab masa tu cuaca panas.
"Alhamdulillah, kami selamat dan saya buat laporan polis untuk mendapatkan bantuan bencana bagi mengurangkan beban membaiki kerosakan ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, B Sivan Krishnan, 52, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi ke bengkel.
"Saya hanya tahu bencana ni selepas diberitahu jiran. Masa sampai rumah, saya tengok bumbung garaj dah tak ada.
“Rumah saya rosak teruk sebab bumbung dan dinding tercabut, kerugian dianggarkan kira-kira RM3000,” katanya.
0 comments:
Post a Comment