Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 27, 2016

BAPA DURJANA TERGAMAK ROGOL ANAK TIRI


rogol


Kuala Pilah – Seorang bapa bernafsu binatang tergamak merogol anak tirinya sejak mangsa berusia 13 tahun dan berterusan sehingga mangsa kini berusia 16 tahun di Senaling, di sini.

Menurut sumber, perbuatan jijik bapa berusia 44 tahun ke atas anak tiri daripada dua beradik itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian menimpa dirinya kepada seorang guru di sekolahnya selepas mengalami tekanan jiwa.

“Mangsa mengambil keputusan membongkar segala perbuatan keji bapa tiri selama ini kerana dipercayai sudah tidak tahan lagi menjadi hamba seks kepada lelaki itu.

“Bapa tiri yang juga peniaga di pasar malam telah berkahwin dengan ibu mangsa beberapa tahun lalu. Mangsa tinggal bersama bapa tiri serta ibunya di Senaling.

“Mangsa mendakwa menjadi hamba seks bapa tirinya setelah dia memasuki tingkatan satu.

“Lambat bertindak untuk maklumkan kepada ibunya kerana bimbang ibunya tidak percayakan dirinya, sebaliknya mengambil keputusan berdiam diri dan tidak menceritakan kepada keluarga terdekat,” katanya.

Tambahnya, mangsa menceritakan masalah itu kepada seorang guru dan guru terbabit bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah, jam 3 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abdul Rahman mengesahkan laporan tersebut.

Beliau memberitahu, bapa tiri tersebut telah ditangkap di rumahnya kelmarin sejurus pihaknya menerima laporan polis.

“Bapa tiri berkenaan direman selama tujuh hari bermula kelmarin dan polis sedang menyiasat kes ini lebih terperinci.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan pelajar dan gadis bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman menambah, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.


0 comments:

share2