Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 28, 2016

ANAK TEMPATAN PAMER BAKAT


Anak tempatan pamer bakat


Ipoh - Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) akan bekerjasama dalam penganjuran Dialog Antarabangsa Pembangunan Pangkor (Pangkor Dialogue) 2016 dengan menguruskan ruang seni Garden Of Arts.

Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi berkata, PORT akan mempamerkan hasil seni pelbagai komponen dari penglibatan komunitinya bagi menarik minat serta menonjolkan hasil dan bakat seni anak tempatan khususnya.

Menurutnya, ruang seni akan berlangsung dari 3 hingga 6 September ini di Casuarina@Meru, tiga hari sebelum penganjuran Pangkor Dialogue.

“Selari dengan usaha kerajaan negeri, penglibatan PORT di Pangkor Dialogue 2016 sekali gus mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017.

“Kita akan tampilkan hasil karya seni dari komuniti PORT sepanjang tertubuhnya PORT sejak 2011 dan ia merupakan satu tarikan yang terdapat di Perak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Tambah Zamari lagi, pelbagai aktiviti telah disusun dalam merancakkan lagi program Pangkor Dialogue yang turut mendapat pengiktirafan dunia itu.

“Antara aktiviti seni di Garden of Arts yang akan dijalankan sepanjang Pangkor Dialogue 2016 termasuklah pameran hasil seni fotografi, seni lukisan seperti Gesture Arts, karikatur, seni persembahan seperti Busker atau lebih sinonim dengan panggilan Pemuzik Jalanan.

“PORT juga bakal membawakan pertunjukan serta pertandingan koleksi kereta dan motosikal lama yang turut dimuatkan sepanjang tiga hari program berlangsung,” katanya lagi.

Beliau berkata, Perak Busker Community akan membawakan beberapa kumpulan muzik yang akan menghiburkan pengunjung Pangkor Dialogue antaranya seperti Manjung Buskers, BGB, Panji, Nipah Buskers dan banyak lagi.

“Komuniti kereta dan motosikal lama yang terlibat adalah Vesparuddin, Vesparado dan Streetcup.

“Acara kemuncak adalah penyampaian hadiah bagi beberapa acara ketika berlangsung pertunjukan di Garden of Arts,” katanya lagi.


0 comments:

share2