Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 4, 2016

TIKAM TANGAN PENGHULU KETIKA MENUNGGANG MOTOSIKAL


Tikam tangan penghulu ketika menunggang motosikal


Kota Bharu - Seorang lelaki mengaku salah di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan seorang penunggang motosikal dengan menikam tangan mangsa.

Tertuduh, Mohd Rizam Suhaimay, 35, didakwa dengan niat mencederakan Wan Nazri Wan Ahmad, 39, dengan menggunakan pisau hingga mendatangkan cedera pada bahagian tangan kirinya dalam kejadian di lampu isyarat Simpang Empat Pasir Tumboh, Kubang Kerian, di sini, pada jam 6.15 petang, 19 Mei lalu.

Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Hukuman terhadapnya bagaimanapun ditangguhkan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 1 Ogos depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh merayu supaya jaminan itu dikurangkan.

Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yaseer Amri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.

Sebelumnya, dalam satu prosiding lain di mahkamah sesyen, di sini, tertuduh mengaku tidak salah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penghulu dalam kejadian pada jam 1.30 petang, 18 Mei lalu.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Shamsudin Husain, 44, dengan menggunakan besi yang diubahsuai berbentuk pisau yang hujungnya ditajamkan dan mempunyai lubang.

Bagi tuduhan ini, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 25 Julai depan untuk pengurusan kes dan serahan dokumen. Tiada jaminan dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohd Rosly Mohamad Nawi.

Kes di mahkamah berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliayana Md Zukri.


0 comments:

share2