Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 21, 2016

SIAPA FETHULLAH GULEN?

Image result for Fethullah Gulen


NAMA Fethullah Gulen tiba-tiba muncul di langit dunia menyusuli kegagalan cubaan coup d’etat membabitkan sebilangan pegawai dan anggota tentera Turki terhadap kerajaan Recep Tayyip Erdogan awal pagi Sabtu, 16 Julai lalu.

Ini berikutan kenyataan Erdogan sendiri bahawa mereka melakukan tindakan itu dengan arahan dari Pennsylavnia. ‘Arahan dari Pennsylavnia’ merujuk kepada perancangan oleh Gulen yang menetap di Saylorsburg, Pennsylvania sejak meninggalkan Turki pada 1999. Meskipun Gulen tidak pernah pulang ke tanah airnya sejak itu, dia dikatakan masih mempunyai pengaruh yang kuat di Turki.

Siapa sebenarnya Gulen? Dia adalah ulama, pemikir dan pendakwah bermazhab Hanafi, berwatak tasawuf, cenderung pada dialog peradaban atau interaksi silang agama dan begitu menggemari falsafah Barat.

Gulen juga adalah watak penting di belakang tabir politik Turki pada suatu ketika namun tidak pernah melibatkan diri secara langsung. Ini kerana kumpulannya yang dikenali sebagai Gerakan Gulen atau Gerakan Hizmet menonjolkan pendirian, mereka tiada kepentingan dan kecenderungan untuk berpolitik melainkan hanya mahu menumpu pada kerja menyebarkan Islam, menggalakan kehidupan dan hubungan yang harmonis sesama manusia dan juga dengan makhluk yang lain.

Umum bagaimanapun mengetahui bahawa Gulen mempergunakan entiti itu untuk meluaskan pengaruhnya dalam politik sama ada dari sisi yang positif mahupun negatif.

Suatu ketika, dia adalah sekutu Erdogan dari luar AKP yang paling rapat. Malah kemenangan Erdogan dan partinya dalam pilihan raya juga didakwa oleh pengikut Gulen sebagai hasil usaha mereka membawa kesedaran Islam dalam masyarakat. Malah ramai pengikut Gulen yang tinggal di luar negara dikatakan pulang ke Turki untuk mengundi calon AKP, dan kemudian 'terbang' balik ke tempat mereka selepas membuang undi.

Kerjasama mereka bermula apabila Parti Fazilet (FP) yang disertai Erdogan (selepas Refah) diharamkan oleh mahkamah pada 2001. Apabila golongan Gelenekciler atau Kaum Tua dalam FP yang dipimpin oleh Necmettin Erbakan dan Recai Kutan menubuhkan parti baharu, Saadet (SP) yang berorientasikan penubuhan negara Islam, Erdogan bersama Abdullah Gul dan Bulent Arinc daripada aliran Yenilikciler (kumpulan reformis) menubuhkan AKP.

Mereka memperjuangkan dasar yang lebih liberal dalam beragama di samping menghormati prinsip sekularisme yang begitu ‘berkuasa’ dalam Perlembagaan Turki.

Ketika itulah Gulen yang memimpin gerakannya sejak 1970an mendekati AKP dan Erdogan sambil mengakui perjuangan mereka adalah sehaluan.

Begitupun, Gulen tetap dikenali sebagai ulama yang bebas politik dan begitu komited dalam memperjuangkan kehidupan rakyat. Dalam bidang pendidikan, dia berjuang meningkatkan taraf pendidikan manakala dalam bidang ekonomi, kumpulannya bergerak di bawah payung MUSIAD (Persatuan Ahli Industri dan Perniagaan Bebas) yang 'bertembung' dengan TUSIAD (Persatuan Industri dan Perniagaan Turki), sebuah persatuan perniagaan di bawah naungan kerajaan.

Menerusi MUSIAD, Gulen aktif membantu golongan peniaga termasuk memberikan mereka pinjaman.

Dalam bidang pendidikan pula, dia bukan sahaja aktif di dalam negara bahkan juga di luar terutama Asia Tengah. Di Kazakhstan, terdapat 30 sekolah tinggi selain sebuah universiti miliknya manakala di Turkmenistan, ada 14 sekolah tinggi dan sebuah universiti. Di Indonesia, dilaporkan terdapat 10 sekolah dikenali 'sekolah Turki’ yang sebenarnya adalah ‘sekolah Gulen’.

Selain menggunakan bahasa Turki sebagai pengantar, institusi pendidikan milik Gulen juga mengintegrasikan ilmu Islam dengan sains moden, sama seperti perjuangan idolanya, Badiuzzaman Said Nursi (1878-1960), seorang tokoh ulama dan nasionalis Turki yang sangat dihormati.

Usahanya itu menyebabkan pengaruh Gulen semakin meluas hingga dia digelar ‘Hocaefendi’ yang setaraf dengan ‘Ayatollah’ di Iran.

Usaha mengidentifikasikan dirinya dengan Nursi juga membantu imejnya kerana kitab ‘Risalah An Nur’ karangan Nursi hingga kini ditelaah oleh sebahagian besar rakyat Turki. Gelaran 'abe' yang digunakan sebagai panggilan sesama penuntut Risalah An Nur (sama maksud dengan 'brother') juga digunakan dalam kalangan pengikut Gulen.

Dikatakan anggota gerakan Gulen mencapai satu per tiga daripada jumlah populasi, menggambarkan betapa berpengaruh sosok berusia 75 tahun itu. Bagi mereka yang anti Gulen, angka itu sebaliknya dianggap propaganda semata-mata kerana yang sebenar kata mereka, nisbah itu lebih tepat untuk menggambarkan ramainya penuntut Risalah An Nur.

Hubungan Gulen dengan Erdogan mulai bermasalah sejak 2013 apabila kerajaan mendapati terdapat kes rasuah yang boleh disabitkan dengannya di mahkamah. Sejak itu, kempen anti Erdogan dilancarkan secara terang-terangan. Sekolah-sekolah Gulen di serata dunia memulakan proses indoktrinasi anti Erdogan. Media miliknya terutama akhbar Zaman dan Samanyolu TV secara besar-besaran berkempen memburukkan Erdogan. Presiden dituduh seorang pemimpin rasuah di sebalik imej Islamis dan nasionalisnya. Isterinya, Emine pula digambarkan sebagai pemboros.

Pertembungan mereka semakin hari semakin parah hingga mencapai kemuncaknya awal pagi Sabtu lalu apabila Erdogan menuduh, Gulenlah dalang coup d'etat itu.

Apabila dia memilih untuk 'berlindung' di Amerika Syarikat dan tidak pulang ke Turki sejak 1999, orang mula mengaitkan dirinya dengan CIA dan Mossad, malah ada yang menuduh keupayaan membiayai pelbagai projek di seluruh dunia selama ini adalah atas bantuan kuasa asing sebagai 'camouflage' untuk melindungi misinya yang sebenar.

CIA dikatakan mula memberikan perhatian terhadap Gulen setelah kumpulan sekularis dalam politik Turki, juga tentera sebagai pelindung prinsip sekular dalam Perlembagaan sudah tidak boleh lagi diharap lantaran kesedaran rakyat terhadap Islam semakin meningkat.

Rakyat Turki telah menterjemahkan kuasa dan kehendak mereka pada kertas undi untuk memilih Erdogan dan partinya yang sedikit demi sedikit telah berjaya membawa Turki kembali pada Islam meskipun berselindung di sebalik imej dan slogan sekular.

Atas sebab itulah Barat dikatakan cuba mempergunakan Islamis untuk menyekat Islamis. Dari situlah Gulen dibawa untuk memainkan peranannya yang dikatakan telah berubah 180 darjah berbanding perjuangannya dahulu. Gulen yang sekarang, kata sesetengah pengikutnya, bukanlah Gulen yang dahulu!

Namun disebabkan jasa dan imej ulamanya – meskipun dia tidak memakai tarbus, serban atau jubah – ramai yang sukar terima tuduhan Erdogan terhadapnya malah ada yang sampai menuduh Erdogan sendiri mengatur sandiwara untuk memburukkan Gulen selain mengukuhkan kedudukannya sebagai diktator.

Hal itu bukan sahaja memberi kesan di Turki malahan seluruh dunia termasuk Malaysia. Harapan dan fokus umat Islam sejak pemerintahan Turki diambil alih oleh Erdogan melahirkan ramai pengkagumnya di negara kita dan pada masa yang sama, ada juga yang mengikuti Gulen terutama mereka yang sering mengunjungi Turkish House berhampiran Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Justeru apabila berlaku konflik melibatkan dua tokoh itu, pengikut juga ikut sama bertelagah dan tuduhan pasca kudeta baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.

Apa yang harus diakui, jika Gulen dianggap bukan ulama sembarangan oleh pengikutnya, Erdogan juga bukan ahli politik kedai kopi!

Cabaran getir dihadapi sejak mengambil alih pemerintahan pada 14 Mac 2003 telah menghadapkannya dengan seribu satu macam ancaman siang dan malam. Nyawanya, juga anggota keluarga jadi pertaruhan setiap saat.

Lantaran itu bukan mudah untuk hidup sebagai Erdogan jika tidak mempunyai pasukan perisik yang cekap lagi diyakini.Justeru apabila dia membuat sesuatu kenyataan terutama dalam situasi yang kritikal seperti awal pagi 16 Julai lalu, kenyataan itu pastinya bersandar maklumat risikan.

Ya, benar Gulen belum dihadapkan ke mahkamah dan belum didapati bersalah. Apa yang dikata oleh Erdogan setakat ini semata-mata tuduhan namun jika benar Gulen tidak bersalah, dia harus berani kembali ke Turki untuk ke mahkamah bagi membuktikan dirinya difitnah.

Lakukanlah seperti tindakan Said Nursi, idolanya yang bersolat dengan tenang di hadapan skuad penembak yang menunggu masa untuk menghukumnya atas sebab tidak bangun menghormati Komander Rusia, Jeneral Nicholas Nicolavich.

Namun kesabaran dan ketenangan Nursi pada waktu itu sebaliknya telah menarik perhatian sang komander untuk meminta maaf dan terus membatalkan hukuman mati terhadapnya.

Gulen yang banyak berjasa itu belum tentu bersalah, mungkin juga dia diletak untuk dilihat bersalah tanpa dia sendiri berupaya untuk keluar dari perangkap itu. Namun selagi dia terus diam di Pennsylvania, dunia akan terus tertanya-tanya!




0 comments:

share2