Machang – Naluri seorang ibu tunggal yang menyedari rumahnya dimasuki pencuri berakhir dengan tragedi kebakaran pada jam 3.30 pagi semalam di Kampung Machang Gochoh.
Nor Ayuni Muhamad, 41, berkata, dia tersedar dari tidur selepas mendapati rumahnya terputus bekalan elektrik dan terdengar bunyi bising dari arah ruang tamu rumah.
Takut dengan kebarangkalian terdapat pencuri dalam rumah, Ayuni segera menghubungi Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Hampir 10 minit menunggu, saya terkejut apabila pihak polis mengarahkan saya keluar daripada rumah kerana berlaku kebakaran dari arah dapur rumah. Kami berusaha mengeluarkan barang berharga...
"Namun, api marak terlalu cepat dan membakar rumah dalam masa beberapa minit sahaja,” katanya sayu.
Sementara itu, adik bongsunya, Asmarizam Muhamad, 31, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan lebih 20 kitab agama dan al-Quran dari rumah berkenaan.
Asmarizam yang bekerja sebagai guru fardu ain berkata, selain kerugian berikutan kehilangan rumah pusaka yang dibina pada 1975 itu, kerugian lain turut dihadapi yang berjumlah RM300,000.
"Sedih memanglah sedih... tapi, Alhamdulillah kerana kakak bersama dua anak saudara saya berumur sembilan dan lapan tahun terselamat. Ini semua ketentuan ALLAH, sebagai hamba-Nya kami reda," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Nazri A Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.58 pagi.
Tambahnya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas serta Rantau Panjang bergegas ke tempat kejadian menggunakan dua jentera.
“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati rumah berkenaan terbakar hampir 70 peratus. Kami menggunakan empat pancutan air bagi memadamkan api.
“Kita juga mahu mengelak api daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak beberapa meter dari kawasan kebakaran. Jika ia berlaku, kerugian mungkin meningkat kepada dua kali ganda,” katanya.
0 comments:
Post a Comment