Seorang pelajar tahun tiga Singapore University of Technology and Design (SUTD) berasal dari Malaysia merupakan antara yang cedera dalam serangan semasa sambutan Hari Bastille di Perancis, lapor Channel NewsAsia.
Memetik SUTD, portal berita itu berkata pelajar yang cedera itu kini berada dalam keadaan stabil di hospital dan sedang berhubung dengan ibu bapanya.
Laporan itu berkata pelajar berkenaan merupakan antara 12 pelajar SUTD yang kini berada di Nice untuk program musim panas, 11 lagi pelajar selamat.
"Kami berhubung dengan semua pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Luar, kedutaan dan bekerjasama dengan International SOS bagi memberikan sokongan dan kaunseling," kata Presiden SUTD Prof Thomas Magnanti seperti dipetik dalam laporan itu.
"Kami juga melakukan sehabis mampu untuk memberi sokongan dan memberi maklumat terkini kepada pelajar dan ibu bapa mereka. Sebelas pelajar lain dinasihatkan untuk kekal di asrama mereka dan peka terhadap arahan keselamatan oleh pihak berkuasa Perancis," katanya.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan ramai lagi cedera selepas sebuah trak merempuh orang ramai di Nice, selatan Perancis.
Sementara itu, The Straits Times melaporkan pelajar SUTD yang cedera itu ialah Esmond Chuah, 22, dan bapanya memohon untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan anaknya itu.
"Tolong cari anak lelaki saya Esmond Chuah Hooi Ong (pelajar SUTD) yang cedera dalam serangan di Nice, Perancis pagi ini. Ingin tahu keadaannya sekarang," menurut Chuah Tze Leng dalam Facebooknya kira-kira empat jam lepas.
Daripada laman Facebook miliknya itu, Tze Leng menyatakan bahawa dia bekerja di Astro dan tinggal di Pulau Pinang.
0 comments:
Post a Comment