Permintaan durian meningkat secara luar biasa tahun ini apabila bekalan tidak mencukupi sekali gus harganya turut naik.
Penjual durian terkenal di Kampung Batu 5, Jalan Pahang, Tapah, Abdul Ghani Ali, 49, berkata, musim ini pokok durian tidak banyak berbuah di Perak berikutan cuaca terlalu panas ketika bunganya kembang beberapa bulan lalu.
Namun begitu pokok durian di kawasan Tapah dan Sungkai menghala ke Cameron Highlands masih menghasilkan buah kerana cuaca di situ bersuhu sejuk dan sederhana.
Menurutnya, dia menerima bekalan durian daripada pemilik dusun Orang Asli yang tinggal di sepanjang Jalan Pahang, Tapah menuju Cameron Highlands.
"Sepanjang bulan puasa, harganya agak rendah sedikit tetapi naik secara mendadak apabila permintaannya melebihi tawaran semasa musim hari raya kali ini," katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Batu 5, Jalan Pahang, Tapah.
Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh perayaan, gerai jualannya sentiasa dipenuhi pelanggan dan kebanyakan mereka datang bersama ahli keluarga.
“Ada yang makan di gerai ini dan ada juga yang mahu membawa pulang isi durian yang dipindahkan ke dalam bekas plastik.
"Ia memudahkan mereka membawa pulang ke destinasi masing-masing terutama yang tinggal di luar kawasan Tapah," katanya.
Beliau berkata, walaupun berasa penat melayan pelanggan, namun dia berpuas hati dengan rezeki perniagaannya.
Katanya, dia sekeluarga gembira kerana dapat berkhidmat kepada pelanggan sepanjang perayaan kali ini.
“Saya bersama ahli keluarga membantu mereka mengupas durian dari pagi hingga lewat petang," katanya.
0 comments:
Post a Comment