Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 29, 2016

[PEKAN] 200 ORANG TERIMA ANUGERAH DARJAH DAN PINGAT KEBESARAN NEGERI PAHANG





28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437H – Seramai 200 orang menerima Darjah-Darjah Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, semalam. 

Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah dan Pinggat-Pingat disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 

Keberangkatan baginda diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Seramai 10 orang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) Peringkat Pertama yang membawa gelaran Dato’ Sri, didahului Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Manan bin Ismail yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Yang Berbahagia Laksamana Maritim Dato’ Haji Ahmad Puzi bin Haji Ab Kahar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Yang Berhormat Dato’ Haji Irmohizam bin Haji Ibrahim merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan tujuh penerima lain.

Dua orang menerima anugerah Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) Peringkat Pertama, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Yang Berbahagia Laksamana Madya Maritim Dato’ Zulkifili bin Abu Bakar yang membawa gelaran Dato’. Manakala Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Tuan Haji Nik Fauzi bin Tan Sri Nik Hussien dan Pengarah Kanan Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri antara enam orang yang menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran Dato’. Lain-lain, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) Peringkat Kedua yang juga membawa gelaran Dato’ seramai 66 orang, Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) 9 orang, Setia Mahkota Pahang (SMP) 25 orang, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) 9 orang, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 34 orang, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC)11orang, Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) 6 orang dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 11 orang.

Turut memuliakan istiadat pagi tadi ialah Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail bin Tengku Idris Shah dan isteri, Cik Puan Tengah Rohaya binti Abdul Rahim, Yang Mulia Tengku Dato’ Sri Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Perba Jelai Dato’ Haji Wan Abdul Rahman bin Dato’ Haji Wan Ibrahim dan Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Ishak bin Haji Muhammad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Exco-exco Negeri Pahang, Ketua-Ketua Jabatan dan isteri masing-masing.


0 comments:

share2