Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

MGS DIIKTIRAF DUTA JEPUN


MGS diiktiraf Duta Jepun


Berusia 92 tahun bukanlah mudah mengekalkan prestasi sekolah cemerlang. Banyak pengorbanan dan keringat yang harus dicurahkan warga pendidik serta pihak pengurusan bagi memastikan pencapaian sekolah tidak jatuh.

Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodis Klang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist ditubuhkan pada 24 Mei 1924 oleh Ruth Eklund. Beliau merupakan isteri kepada Guru Besar Anglo-Chinese School Klang, Reverend Abel Eklard.

Eklund mengambil langkah membuka sekolah di Klang kerana sekolah perempuan yang paling hampir ketika itu terletak di Kuala Lumpur yang jaraknya 36 kilometer.

Asalnya, sekolah tersebut hanya sebuah pondok yang dipinjamkan Liga Epqorth dari Gereja Wesley Klang. Seramai 29 pelajar perempuan merupakan kumpulan pertama belajar di kedua-dua sekolah itu.

Guru khas bahasa Jepun

Tahun demi tahun banyak kejayaan dicapai dalam pelbagai bidang oleh sekolah terdiri daripada pelbagai kaum ini.

Menurut Pengetua SMK (P) Methodist Klang, Roziah Roslan, sekolah ini lebih dikenal dengan MGS yang bermaksud Methodist Girls’ School.

“MGS adalah sekolah primer bantuan kerajaan (mubaligh) perempuan terakhir. Tidak akan ada lagi sekolah bantuan kerajaan yang akan dibina selepas itu.

“Tahun lepas, MGS mempunyai 1,700 pelajar tetapi tahun ini ada 1,500 pelajar disebabkan penyelarasan semula tingkatan enam. Oleh itu, ini adalah tahun terakhir sekolah ini mempunyai pelajar tingkatan enam,” katanya.

Kata beliau, MGS sekolah harian biasa yang cemerlang akademik dan mendapat tempat kedua antara sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

“MGS fokus kepada bahasa dan pelajar diberi penekanan agar dapat menguasai bahasa Melayu dan Inggeris selain menggalakkan mereka gunakan dua bahasa itu sebagai bahasa pertuturan.

“Pelajar turut diberi peluang kuasai bahasa Tamil, Cina dan Jepun,” katanya.

MGS mendapat pengiktirafan daripada Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Mijagawa atas pencapaian cemerlang dalam pertandingan Perucapan Berirama Bahasa Jepun yang menjadi juara enam tahun berturut-turut.

“Kami terima piala The 10th Japanese Language Festival, Japanese Choral Speaking Contest 7 Mei lalu daripada Dr Makio Mijagawa," kata Roziah.

Tambah beliau, sebelum ini orang Jepun tidak kenal apa itu perucapan berirama dan mereka teruja melihat cara penyampaian yang ditonjolkan sehinggalah Malaysia dijadikan tempat rujukan bagi mengembangkan perucapan berirama ke seluruh sekolah Asean. Selain itu, syarahan bahasa Jepun pihak sekolah turut menyertai pertandingan bercakap dalam bahasa Jepun dan Tarian Soran Bushi.

“Kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali menyertai pertandingan, biasanya akan bawa pulang RM3,000 dan piala selain tiket penerbangan ke Jepun.

"Memandangkan MGS mendapat banyak anugerah dalam bidang bahasa, tidak hairanlah sekolah ini dipilih oleh kementerian mempunyai subjek tambahan iaitu bahasa Jepun," katanya.

Lebih menarik, MGS mempunyai guru bahasa Jepun, Nadia Soh Abdullah yang dihantar oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengajar bahasa Jepun di sekolah itu. Bilangan pelajar mengambil bahasa itu hampir 200 orang dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dan sekolah itu mendapat keputusan terbaik bahasa Jepun dua tahun berturut-turut.

“Setiap tahun sekolah ini menerima sukarelawan dari Jepun menerusi program Nihogo Partner dengan kerjasama KPM dan Japan Foundation.

“Menerusi program tersebut sukarelawan akan berkhidmat di sekolah ini selama 10 bulan bermula Februari hingga November,” katanya.

Kata Roziah, pada tahun ini pihaknya menerima warga Jepun bernama Aoui Sato, 21, yang memulakan pengajaran secara tidak formal untuk menggalakkan minat pelajar menguasai bahasa Jepun.

Pembelajaran berlangsung di luar waktu persekolahan di kawasan sekolah.

“Sebanyak lebih kurang 20 pelajar terbabit dalam satu-satu masa termasuk Sabtu dan Ahad. Pelajar dan sukarelawan itu akan berbual berkenaan pelbagai topik dalam bahasa Jepun," katanya.

Cabaran pengetua

Menurut Roziah, bukan mudah mengekalkan prestasi cemerlang tambahan pula beliau baru empat tahun ditugaskan di sekolah itu.

“Agak mencabar apabila permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu anak mereka bersekolah di sini sedangkan tempat terhad. Bagi mengekalkan kejayaan dalam kokurikulum, saya menggunakan formula pengkhususan. Walaupun sekolah menyertai banyak aktiviti kokurikulum tetapi sasaran untuk mencapai kejayaan cemerlang hanya beberapa kategori sahaja.

"Misalnya pada tahun ini MGS juara Pertandingan Catur Peringkat Daerah Klang 2016, Johan Perucapan Berirama Bahasa Jepun 2016 dan Johan Syarahan Bahasa Jepun 2016 manakala bola jaring pula pada tahap sederhana,” katanya.

Menurutnya, melalui penglibatan pelbagai aktiviti, sekolah ini mampu mengekalkan prestasi kokurikulum.

Roziah bertuah mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni dan lembaga pengelola sekolah.

Katanya, sebelum ini MGS tidak mempunyai makmal komputer tetapi dengan bantuan PIBG, alumni dan lembaga pengelola sekolah, MGS kini dapat dibestarikan dengan kemudahan komputer di setiap kelas.

“Sekolah juga dalam proses menyediakan mini stadium bagi kemudahan aktiviti kokurikulum. Memandangkan pelajar aktif pelbagai acara, maka sekolah perlu mempunyai tempat lebih besar supaya meraka dapat menjalani latihan,” katanya.


0 comments:

share2