Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 20, 2016

KEM KEMUNTING JADI PUSAT TAHANAN DAESH


Kem Kamunting dijadikan pusat tahanan Daesh


TAIPING 20 Julai - Jabatan Penjara sedang mengubah suai struktur bangunan Pusat Tahanan Kamunting di sini bagi menempatkan tahanan kumpulan militan Daesh.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, pengubahsuaian itu dijangka siap akhir tahun ini bagi membolehkan tahanan Daesh yang ditahan di negara ini diasingkan dengan banduan lain.

"Kita sedang buat pengubahsuaian kerana tahanan ini berbeza dengan tahanan lain dan mereka tidak boleh bercampur dengan tahanan lain.

"Kalau militan Daesh bercampur, ia boleh mempengaruhi tahanan lain. Pihak kami juga menempatkan pegawai penjara yang dilatih khas bagi menjaga banduan militan berkenaan supaya banduan lain tidak terpengaruh dengan militan Daesh," katanya kepada pemberita.

Hassan menyampaikan sijil pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Penjara membabitkan 158 pegawai penjara di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Pada 16 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia kini menahan 213 orang yang terlibat dalam kegiatan Daesh termasuk 27 warga asing.

Hassan berkata. tahanan kumpulan militan Daesh yang ditangkap itu kini sedang ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor dan Penjara Machang, Kelantan.

Menurut beliau, pihaknya telah menyediakan makanan dan penghantarannya akan dibuat secara berasingan selain mengawasi kesemua surat menyurat serta aktiviti perjumpaan dengan keluarga mereka.

Sementara itu beliau berkata, Jabatan Penjara kini menghadapi masalah kesesakan tahanan di penjara yang menampung lebih 53,399 orang banduan berbanding 52,350 orang tahanan yang boleh ditempatkan di penjara di negara ini. 




0 comments:

share2