KALAU ikutkan slogan, jalan dan lebuh raya kita sepatutnya telah lama bebas kemalangan. Tidak ada yang mati mengejut di atas jalan. Tidak ada juga tragedi pada musim-musim perayaan.
Slogan kempen keselamatan jalan raya terkini – telah digunakan sejak beberapa tahun – ialah ‘Anda Mampu Mengubahnya’. Slogan tinggal slogan! Ternyata kita tidak dapat mengubahnya.
Statistik kemalangan jalan raya musim Aidilfitri tahun ini tidak menunjukkan sebarang perubahan positif. Seperti yang dilaporkan media, sebanyak 15,524 kes direkodkan di seluruh negara setakat 11 hari pelaksanaan operasi keselamatan. Ini peningkatan 2.5 peratus berbanding musim sama tahun sebelumnya.
Jumlah kematian yang direkodkan dalam tempoh tersebut ialah 229, turun sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu 266. Memandu melebihi had laju mencatat jumlah saman tertinggi 9,599 sementara saman kerana menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bagi Zon Utara ialah 1,019.
Walaupun dengan gerakan bersepadu Polis, JPJ dan lain-lain agensi, usaha mendisiplinkan pemandu tidak berkesan. Sama seperti operasi-operasi sebelumnya ‘Op Selamat 9/2016’ yang bermula 29 Jun lepas tidak mengubah sikap pemandu.
Sudah sembilan kali diadakan setiap musim perayaan, Op Selamat gagal menyekat kemalangan maut. Maka saya cadangkan ia ditukar menjadi ‘Op Tidak Selamat’.
Sebenarnya sebelum ini kita sudah ada banyak op, banyak kempen, dan bermacam-macam-macam slogan. Antara slogan yang saya masih ingat ‘Berhati-Hadi di Jalan Raya’, tetapi terbukti semakin ramai tidak berhati-hati.
Ada slogan ‘Pandu Cermat, Jiwa Selamat’. Tetapi ternyata kita tidak cermat ketika memandu, sebab itu ramai tidak selamat dan menjadi arwah di jalan dan lebuh raya. Lebih malang lagi pemandu yang cermat menjadi mangsa pemandu rakus.
Ada juga slogan ‘Jangan Terkejar-Kejar Ketika Memandu, Nanti Anda Dikejarkan Ke Tempat Lain’. Tetapi masih ramai yang terkejar @ melebihi had laju, maka ramai yang dikejarkan ke tempat lain, iaitu ke hospital dan ke kubur.
Nampaknya slogan yang baik dan berbahasa indah tidak dipatuhi oleh pemandu. Apa kata kita gunakan slogan bahasa kasar lagi kurang ajar. Orang putih kata reverse psychology. Contoh: ‘Memandulah Sambil WhatsApp, Lagi Cepat Kita Mati’, atau ‘Pecut Gila-Gila, Biar Mati Hancur Kepala’.
Slogan yang sesuai untuk mat motor: ‘Rempit Sampai Mati, Makwe Lu Wa Punya’, atau ‘Jalan Raya Opah Punya, Bro! Jom Pecut Biar Mati Keluar Isi Perut.’
Setiap kali musim perayaan, dan setelah gagal dalam Op Selamat, PDRM akan mengeluarkan statistik kemalangan jalan raya, dan jumlah yang maut. Pada hal kalau tidak musim perayaan pun jalan dan lebuh raya kita tidak pernah bebas dari kemalangan dan kematian.
Setiap masa, sepanjang tahun, jalan dan lebuh raya kita menjadi medan maut. Purata 6,000 kematian akibat kemalangan kenderaan direkodkan setiap tahun. Di tempat lain beribu mati kerana perang; di tempat kita orang mati dalam keadaan aman, di atas jalan.
Sejak dulu pemandu kita – mungkin antara yang terburuk di dalam dunia – tidak pernah peka dengan peraturan keselamatan jalan raya. Almaklumlah dapat lesen memandu secara mudah. Ada ‘lesen kopi-O’, ‘lesen terbang’, ‘lesen bawah meja’, ‘lesen beli’ – semuanya merujuk kepada rasuah.
Pemandu tidak mengikut undang-undang adalah satu hal. Tetapi pihak berkuasa pun tidak tegas dalam menegakkan undang-undang. Kanak-kanak darjah satu tanpa lesen boleh membawa motosikal ke sekolah. Ada ura-ura untuk mengheret ibu bapa ke mahkamah kerana membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen.
Tetapi sampai sekarang tidak pernah kita dengar ibu bapa dipenjara kerana kecuaian tersebut. Sedangkan bilangan kanak-kanak yang menunggang motosikal tanpa lesen, tanpa topi keledar terus menyemakkan jalan raya kita.
Dalam kes bas persiaran melanggar 10 kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara- Selatan dekat Terowong Menora di Ipoh minggu lalu, pemandunya mempunyai sembilan saman tertunggak, termasuk memandu laju. Bas sama juga mempunyai 63 saman tertunggak.
Begitu banyak saman dikeluarkan ke atas bas dan pemandu, tetapi sudah sekian lama masih tidak ada tindakan. Pelik lagi memalukan, di mana undang-undang kita?
Baik menteri mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bernada sama dalam kes ini: “Kita memandang serius, dan akan bertindak tegas.”
Ini ayat klise, rakyat sudah muak mendengarnya!
0 comments:
Post a Comment