Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 15, 2016

TANGAN KANAN PENDEK EMPAT INCI


Tangan kanan pendek empat inci


Kuala Pilah - Seorang warga emas mengalami kecacatan seumur hidup pada tangan kanannya akibat disondol dan digigit babi hutan betina ketika sedang mengambil air pokok enau di belakang rumahnya di Kampung Tanah Datar Seri Menanti.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, Sihor@Sahar Maarof, 77, berkata, peristiwa yang berlaku pada 2004 itu masih segar dalam ingatannya.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 11 pagi ketika dia sendirian pergi mengambil air pokok enau di belakang rumah.

Bagaimanapun katanya, tanpa disedari ketika leka mencari pokok enau, dia tiba-tiba dikejar dan dilanggar dari arah belakang oleh haiwan tersebut.

Akibat disondol, dia terjatuh dan babi hutan betina itu bertindak lebih agresif dengan menggigit bahagian pergelangan tangan dan pahanya.

“Nak selamatkan diri pun tak berjaya. Haiwan itu bertindak lebih agresif. 

“Pak cik nak selamatkan kepala dari digigit. Bila nak paut kepala babi, haiwan itu terus gigit tangan dan berasa taring tertusuk di tangan.

“Memang waktu itu pak cik fikir mati sahaja. Darah jangan cakap, banyak keluar. Lepas bergelut lebih kurang 10 minit, pak cik semakin lemah dan haiwan itu lari ke dalam hutan berhampiran.

“Pak cik terpaksa gagahkan diri, pulang ke rumah dan panggil isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, mereka dengar dan kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah,” katanya berat babi itu dianggarkan 60 kilogram.

Ekoran itu, dia terpaksa ditempatkan di wad selama 21 hari bagi menerima rawatan.

“Apa yang pak cik perasan, haiwan itu cedera dan mungkin ada seseorang tembak tapi tidak mati. Bila nampak manusia, babi mengganas dan berdendam.

“Gara-gara peristiwa hitam itu, tangan kanan menjadi pendek empat inci serta tidak kuat seperti sedia kala,” katanya.

Menurut bekas pekerja Istana Diraja Seri Menanti yang telah berkhidmat selama 59 tahun itu, dia reda atas dugaan menimpa dirinya.

“Pak cik terima apa yang berlaku, kerana semua ini ada hikmahnya. Pak cik ingin nasihatkan kepada sesiapa yang disondol dan bergelut dengan haiwan liar, perlulah meniarap seakan-akan mati.

“Bila kita buat-buat mati, haiwan tidak terasa diancam dan mungkin meninggalkan kita sendirian tanpa mencederakan lagi,” katanya.


0 comments:

share2