Kampar - Kesempitan hidup menyebabkan seorang penduduk di Jalan Tempoh, di sini, tidak pernah mengimpikan untuk mendapat rumah baharu.
Namun kini Idi Amin Arshad, 41, mampu menarik nafas lega apabila nasib malangnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) yang meluluskan bantuan bagi membina sebuah rumah baharu.
Menurutnya, dia yang menderita penyakit Hepatitis B dan C serta semput sejak dua tahun lalu sudah tidak mampu bekerja mencari nafkah selain bergantung pada bantuan daripada Baitulmal setiap bulan.
"Lebih malang lagi apabila isteri, Norhanita Darus, 41, lumpuh separuh badan akibat diserang angin ahmar sejak enam bulan lalu di tempat kerja di Kampar.
"Kini kami suami isteri tak bekerja disebabkan penyakit yang dialami dan hanya bergantung pada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal," katanya.
Idi Amin berkata, sebelum ini rumah pusaka milik datuknya sudah berusia lebih 47 tahun mengalami pelbagai kerosakan dan tidak mampu dibaiki berikutan tidak ada pendapatan.
"Sebelum ini kami ada isi borang permohonan bina rumah baru di Pejabat Agama Islam Kampar dan beberapa pegawai jabatan itu datang untuk melihat sendiri keadaan rumah kami.
"Semalam saya terima satu surat memaklumkan bakal menerima sebuah rumah baru yang akan dibina tak lama lagi. Ini hadiah paling bermakna buat kami sekeluarga lebih-lebih di bulan Ramadan ini," katanya.
Katanya, kerja-kerja pembinaan rumahnya dimulakan minggu hadapan dan akan siap sebelum atau selepas Aidilfitri ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang banyak membantu kami sekeluarga sehingga merealisasikan impian kami anak beranak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment