Juadah ikan masin dan kicap merupakan antara menu berbuka dan bersahur bagi tujuh beradik dekat Kampung Anak Air di sini sejak kehilangan kedua orang tua pada tahun 2013.
Walaupun itu bukanlah menu harian mereka,tetapi jika menghadapi masalah kewangan, lauk tersebut sentiasa ada stok simpanan di dapur.
Bagi Mohd Ashrol Rani, 21, berkata, dia kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga adik-beradiknya agar cukup makan pakai dan tempat tinggal.
Ayahnya, Rani Abdul Rahman, meninggal akibat kanser usus pada 21 Mac tahun 2013 dan selang sembilan hari selepas itu, ibunya Mek Mah Mamat meninggal dunia akibat angin ahmar pada 30 Mac.
“Alhamdulillah, bulan puasa ini ada juga orang datang bagi lauk dan juga barang-barang lain untuk kami sekeluarga. Tetapi jika,kami goreng ikan masin dan kuah kicap makan beramai-ramai.
“Sudah masuk tahun keempat tanpa kedua orang tua kami, sambutan Ramadan dan Aidilfitri nanti hanya ala kadar sahaja tetapi walau macam mana sekalipun saya akan usaha dapatkan baju raya untuk semua adik-beradik saya,” katanya.
Mohd Ashrol turut mengalami masalah slip disc (kecederaan pada tulang belakang) dan kini sedang menangguhkan pembelajaran di IKBN, Pekan untuk berehat sementara.
Selain Mohd Ashrol, adiknya, Norfarahani, 20, turut mengalami masalah yang sama sementara kakak sulung, Suriani, 31, mengalami masalah saraf dan Norkamsiah, 24, mempunyai masalah asma kronik dan Abdul Halim, 20, menghidap talasemia.
Nasib lapan beradik ini mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang diwakili oleh pegawai khasnya, Norbaini Abu Bakar yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban.
Adik bongsu, Norsuraya, 15, mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebulan dan kini menunggu proses bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk bantuan bulanan.
Norbaini berkata, pihak akan berusaha untuk membawa kesemua adik beradik ini mendapatkan pemeriksaan doktor pakar berikutan masalah kesihatan yang dialami mereka menunjukkan simptom yang sama seperti arwah ibunya.
0 comments:
Post a Comment