Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 12, 2016

[KUANTAN] 40 BUDAK DIBAWA BELI BAJU RAYA


40 budak dibawa beli baju raya


Sejumlah RM16,000 berjaya dikutip sempena Program Ramadan Sejambak Kasih Firdaus untuk anak-anak gelandangan, orang kurang upaya (OKU) serta asnaf sekitar daerah ini.

Penyelaras program, Siti Masliza Abdul Manaf berkata, seramai 40 kanak-kanak yang tidak bernasib baik diberi peluang memilih baju sendiri di gedung pakaian Jakel di sini untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.

Menurutnya, program ini menggunakan medium WhatsApp untuk mengumpul dana bagi merealisasikan hasrat kanak-kanak tersebut.

“Kami tubuhkan satu grup WhatsApp terdiri daripada 100 orang ahli yang mana masing-masing mempunyai pelbagai latar belakang.

“Berdasarkan kepercayaan masing-masing, mereka menyumbang dan alhamdulillah RM16,000 berjaya dikutip,” katanya.

Siti Masliza berkata, walaupun ada antara ahli kumpulan tidak mengenali satu sama lain, tetapi untuk tujuan kebajikan, mereka seolah-olah bersaudara.

“Kita sedia maklum, kanak-kanak ini mempunyai kehidupan mereka sendiri yang pastinya tidak sama dengan rakan sebaya yang lain.

“Walaupun berkeluarga, ada antara mereka masih merayau-rayau dan kadang-kadang pergi sekolah dan tidak bersekolah. Jika kita tidak dekat dengan mereka, siapa lagi?,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengurus Pesona Gerata Wanita (PGW), Fauziah Muhammad berkata, pihaknya merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menempatkan wanita dan anak-anak mereka yang tinggal sebatang kara untuk kelangsungan hidup.

“Kami seronok tengok mereka gembira dan saya harap lebih banyak sumbangan dapat diberikan terutamanya dalam bentuk barangan seperti makanan dan pakaian,” katanya.


0 comments:

share2