Kuala Besut - Seorang ibu tunggal bersama lima anaknya di Kampung Beris Lampu, di sini, berasa gembira kerana dapat menyambut Ramadan tahun ini dalam sebuah rumah baharu.
Nor Mahani Mohamad, 43, berkata, pemberian rumah komuniti secara percuma oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dianggap rezeki kurniaan ALLAH di bulan penuh keberkatan ini.
"Pemberian rumah baharu ini menjadikan Ramadan dan Syawal kami pada tahun ini lebih bermakna. Sebelum ini saya besarkan anak-anak di rumah sewa dengan kadar bayaran RM150 sebulan.
"Bulan lepas saya diberitahu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) saya layak peroleh rumah dan kami sangat gembira apabila wang sewa rumah kini boleh digunakan untuk tujuan lain terutama persekolahan anak-anak," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima replika kunci rumah sebagai simbolik penyerahan rumah dari Idris di Kampung Beris Lampu, di sini, kelmarin.
Menurut Nor Mahani, selama ini dia menyara lima anak berusia 8 hingga 17 tahun dengan menjual mi rebus di depan rumah sewanya, di samping memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.
"Hasil berniaga warung dan bantuan kerajaan, dapatlah saya sara anak-anak tapi tak boleh bermewah seperti orang lain. Saya akan besarkan anak-anak di rumah ini dan harap mereka jadi insan berguna suatu hari nanti," katanya.
Sementara itu, Idris memaklumkan, rumah Nor Mahani merupakan rumah ke-10 disiapkan dan diserahkan kepada penerima di sekitar Parlimen Besut setakat ini.
"Sebanyak sembilan rumah lagi masih dalam pembinaan, manakala 81 rumah akan dibina di Besut sepanjang tahun ini. Pembinaan rumah komuniti menggunakan teknologi serta bahan berbeza. Keistimewaannya, suhu dalam rumah dapat dikurangkan sebanyak 2 darjah.
"Politeknik dan Kolej Komuniti terlibat dalam pembinaan rumah komuniti yang dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air. Kedua-dua kolej sentiasa mencari teknologi serta kaedah terbaik membantu penduduk miskin," katanya.
Tambahnya, teknologi yang akan diguna pakai bukan hanya untuk memastikan ketahanan rumah serta keselesaan rumah, namun ia juga menjimatkan dengan peruntukan kurang RM20,000 dan jangka masa pembinaan tidak lebih sebulan.
0 comments:
Post a Comment