Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 5, 2016

EMPAT PENJURU DI KUALA KANGSAR


PRK Kuala Kangsar


Kuala Kangsar - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bakal memperlihatkan pertandingan empat penjuru antara Pas, BN, Amanah dan Bebas.‎

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria‎ berkata, pihaknya menerima ‎empat nama pencalon dan tiada kertas pencalonan ditolak, sebentar tadi.

BN yang akan mempertahankan kerusi parlimen itu mencalonkan Datin Mastura Mohd Yazid.

Beliau akan menentang calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad; calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli dan Calon bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari, 49.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, 1,000 anggota polis ditempatkan di Pusat Penamaan calon, Dewan Jubli Perak, di sini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Hasil pengawasan polis katanya, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"‎Keadaan keselamatan pada hari ini berada dalam keadaan tenang dan terkawal.

"Kesalahan adalah 'zero' kerana para penyokong mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak menyalahi di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan penyokong dianggarkan 6,000 hingga 7,000 orang," katanya kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihatkan penyokong parti yang bertanding supaya tidak menyentuh isu-isu yang boleh menimbulkan sebarang provokasi bagi memastikan PRK Kuala Kangsar berjalan lancar.

"Jangan disentuh isu keagamaan, kebudayaan dan isu sensitif," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il menewaskan calon Pas Khalil Idham Lim Abdullah dan Bebas Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

Pengundian PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini.


0 comments:

share2