Memasuki tahun ketiga, Geng Kejut Sahur meneruskan tradisi mereka mengelilingi kampung dengan alunan nyanyian diiringi pukulan gendang sebagai usaha mengejutkan penduduk di sini untuk bersahur.
Mereka sanggup mengorbankan waktu tidur apabila bergerak menggunakan van dan motosikal seawal jam 3.30 pagi mengelilingi seluruh kampung itu.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Khairul Ikman Mohamad berkata, mereka hanya meneruskan usaha dilakukan MBFM sebelum ini memandangkan aktiviti yang dilakukan selama dua tahun berturut-turut menerima maklum balas positif komuniti.
“Alhamdulillah… antara 15 hingga 20 orang terlibat dalam usaha ini. Masing-masing seronok malah sebenarnya mereka tak sabar tunggu ketibaan Ramadan.
“Semua teruja sejak hari pertama bersahur. Tak perlu ingatkan mereka untuk berkumpul, mereka sendiri sudah bersedia menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, bekas Pengerusi MBFM, Azli Ismail berkata, dengan kepimpinan baharu ini, perancangan MBFM untuk membantu belia di tanah rancangan itu terbabit dalam aktiviti berfaedah dapat dijayakan.
“Memandangkan usaha Geng Kejut Sahur ini boleh diterima penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga memberikan kerjasama termasuk menyediakan van untuk memudahkan pergerakan membawa gendang dan pembesar suara," katanya.
0 comments:
Post a Comment