Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 18, 2016

TAMAN NEGARA KIAN SURAM?

Taman Negara kian suram?


Sejak berpuluh tahun dahulu, Jerantut terkenal sebagai daerah yang menjadi pintu masuk pelancong untuk ke Taman Negara Kuala Tahan.

Puluhan ribu pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan, sepanjang tahun.

Secara tidak langsung, Taman Negara Kuala Tahan kini dianggap sebagai ikon yang memperkenalkan Jerantut tidak hanya kepada rakyat negara ini, malah di mata dunia.

Ada di antara pelancong dari negara luar yang dahagakan keindahan semula jadi flora dan fauna menjadikan Taman Negara Kuala Tahan sebagai lokasi pelancongan mereka setiap tahun.

Namun begitu, kebelakangan ini ada yang berpendapat Taman Negara Kuala Tahan dilihat semakin suram berikutan kedatangan pelancong dari luar negara yang dikatakan semakin berkurangan dan ia menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

Justeru, Sinar Harian cuba mengupas sejauh mana Taman Negara Kuala Tahan dapat terus menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara sekali gus dikekalkan sebagai ikon Jerantut.
Perlu utamakan aktiviti

Bagi individu yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Kuala Tahan, sudah pasti pelbagai perubahan dilihat saban tahun.

Menurut Hamzah Abdul Hamid, 64, dia memulakan kerjayanya sebagai pemandu pelancong di taman negara itu sejak 1986.

Dari sudut pandangan mata kasarnya, dia mengakui kehadiran pelancong semakin berkurangan terutama dari luar negara meskipun kini lebih banyak kemudahan disediakan untuk memudahkan pelancong datang ke situ.

“Dulu, kalau nak datang sini boleh ambil masa sampai sehari sebab waktu tu satu-satunya laluan ialah sungai.

“Tapi sekarang, pelancong dari Kuala Lumpur boleh sampai ke sini dalam masa tiga hingga empat jam sahaja dengan menggunakan laluan disediakan dengan keadaan jalan yang lebih selesa,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan kekurangan kedatangan pelancong berpunca daripada kekurangan aktiviti baharu yang boleh dijalankan di Taman Negara Kuala Tahan.

Selain itu katanya, pelancong tidak akan datang kali kedua untuk melakukan aktiviti sama justeru dia berharap agar pihak berwajib memperbanyakkan aktiviti yang boleh dilakukan pelancong.

“Bagi pelancong yang hanya mahukan percutian singkat, dahulu mereka boleh ke Gua Telinga. Tetapi saya difahamkan Gua Telinga kini telah ditutup atas faktor keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mempersoalkan tentang titian kanopi yang menjadi daya tarikan utama pelancong ke taman negara itu di mana titian berkenaan yang sepatutnya sepanjang lebih 600 meter kini hanya dibuka untuk fasa pertama sahaja iaitu sepanjang 300 meter sedangkan ia sudah dibaik pulih sejak kira-kira setahun lalu.

Manakala, bagi seorang lagi pemandu pelancong yang berpengalaman lebih 20 tahun di Taman Negara Kuala Tahan, Ramlan Mat Amin, 42, berkata, suasana di taman negara itu tidak sesuram seperti didakwa.

Dia mula menjadi pemandu pelancong yang diberikan lesen sah sekitar 1996 berkata, sehingga kini terdapat 100 pemandu pelancong sah di taman negara itu dengan 60 daripadanya adalah pemandu pelancong sepenuh masa.

“Sebelum ini, hanya Jabatan Perhilitan yang boleh menjadi pemandu pelancong secara sah. Tetapi, selepas taman negara ini semakin mendapat sambutan, penduduk setempat yang menjadi pemandu pelancong juga diberikan lesen yang sah.

Berdasarkan statistik diperolehnya, bagi tahun ini sahaja iaitu sejak Januari sehingga kini, lebih 20,000 pelancong dari dalam dan luar negara telah dicatatkan berkunjung ke situ.

Menurutnya, promosi memperkenalkan taman negara itu kepada masyarakat luar sudah mencukupi memandangkan kini kebanyakan resort utama seperti Mutiara Resort telah menerima tempahan penuh sejak tahun lalu.

“Ini antara jasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mencadangkan Taman Negara diswastakan sekitar 1984 di mana resort besar seperti Resort Mutiara mula mengambil alih pengurusan seperti penginapan, pemandu bot, pemandu pelancong dan lain-lain lagi di mana ia kemudian menjadi ikutan penduduk setempat yang membuka chalet dan rumah inap desa sendiri di kawasan sekitar,” katanya.

Ramlan berkata, kedatangan pelancong semakin meningkat meskipun berlaku bencana banjir mahupun fenomena El Nino.

Namun begitu, dia bersetuju dengan Hamzah agar lebih banyak aktiviti diadakan di sekitar kawasan utama Taman Negara Kuala Tahan.

“Sebelum 1997 dahulu, setiap Julai akan dianjurkan satu festival yang dinamakan July Festival di mana pelbagai acara menarik diadakan untuk menarik kedatangan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Antara acara menarik yang diadakan termasuk pesta air seperti pertandingan menghias bot dan panjat tiang licin, acara bersama masyarakat Orang Asli seperti menyumpit, bersewang, pertandingan lumba burung dan lain-lain lagi.

“Ia terhenti kerana kekurangan bajet justeru kami berharap agar ia dapat diwujudkan semula suatu hari nanti,” katanya.

Kekal jadi ikon daerah

Bagi masyarakat Jerantut, adalah rugi jika mereka tidak pernah ke Taman Negara Kuala Tahan walaupun sekali.

Abdul Adzim Firdaus Saaruni, 15, berkata, sudah banyak kali dia ke taman negara itu terutama pada musim cuti sekolah.

“Taman Negara Kuala Tahan masih seronok untuk dikunjungi dan kalau boleh saya hendak ke sana lagi. Walaupun dah banyak kali ke sana, saya tak pernah bosan untuk meneroka kawasan itu,” katanya.

Dia turut berbangga menjadi anak Jerantut kerana daerah itu semakin dikenali masyarakat luar dengan kewujudan Taman Negara Kuala Tahan.

Seorang lagi penduduk Jerantut, Mohd Hafiz Zulkifli, 24, pula berkata, sejak berusia lima tahun dia telah dibawa menaiki titian kanopi dan pengalaman itu tidak dapat dilupakan sehingga kini.

Malah katanya, masyarakat Jerantut sudah tidak pelik melihat pelancong asing yang berkeliaran di kawasan Jerantut kerana tahu mereka datang untuk ke Taman Negara.

“Saya harap Taman Negara Kuala Tahan akan terus menjadi ikon daerah ini sekaligus tumpuan pelancong luar negara ke sini. Saya juga berharap agar keindahan taman negara ini dapat terus dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya. 

Kurang dipromosi: Ahli Parlimen

Kurang promosi terutama melalui media massa dan iklan yang dimuatkan di papan iklan lebuh raya utama negara boleh menjadi salah satu faktor yang akan mengurangkan kedatangan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau turut mengakui kekurangan promosi di peringkat antarabangsa juga faktor yang akan mengurangkan kedatangan pelancong luar negara ke Taman Negara, Kuala Tahan.

Menurutnya, beliau juga menyaksikan sendiri, selain papan tanda besar yang diletakkan di simpang utama ke bandar Jerantut, jarang sekali dapat dilihat papan tanda yang mempromosikan Taman Negara Kuala Tahan di lebuh raya utama.

“Jika kita melalui lebuh raya utama, memang susah nak nampak iklan mempromosikan Taman Negara Kuala Tahan. Kalau ada pun mungkin satu atau dua, tapi saya lihat masih kurang promosi dari sudut itu.

“Saya juga melihat tarikan pelancongan ini kurang dipromosikan di peringkat antarabangsa. Saya pernah hadir ke salah satu program di luar negara yang mempromosikan pelancongan di Malaysia, namun saya lihat, Taman Negara Kuala Tahan tidak terlalu diketengahkan.

“Apabila ditanya mengapa, mereka menjawab bahawa taman negara itu sudah terkenal, jadi sudah tidak perlu diperkenalkan lagi,” katanya.


0 comments:

share2